JURUTERA KERJA
YANG MULIA DAYANG HALIMAHTUSA’ADIAH BINTI HAJI HISHAMUDDIN
KETUA BAHAGIAN PENGURUSAN BANGUNAN DAN KESELAMATAN
BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
JABATAN PERDANA MENTERI
Dayang Halimahtusa’adiah binti Haji Hishamuddin kini memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Bangunan dan Keselamatan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB). Beliau mula berkhidmat sebagai Jurutera Kerja di BKISHHB pada 3 Mei 2021 sebelum dilantik mengetuai bahagian tersebut.
Sebelum menyertai BKISHHB, beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera (Bergaji Hari) di Jabatan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dari 8 Ogos 2009 hingga 1 November 2009. Beliau kemudiannya ditempatkan di Bahagian Kaji Tanah dan Kaji Selidik, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, JKR dari 2 November 2009 hingga 31 Januari 2021, dan disahkan dalam jawatan setelah berjaya menamatkan tempoh percubaan selama satu (1) tahun. Pada 1 Februari hingga 31 Mei 2021, beliau turut diperbantukan ke Cawangan Belait, Jabatan Kerja Raya dan memangku jawatan Jurutera Kerja di bawah Bahagian Jalan Raya.
Dari segi kelayakan akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) daripada Queen’s University Belfast, Northern Ireland, United Kingdom pada tahun 2007, diikuti dengan Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Projek daripada The University of Manchester, United Kingdom pada tahun 2008.
Dalam bidang profesional, beliau telah lulus Chartered Professional Review pada tahun 2019 dan seterusnya didaftarkan sebagai Chartered Engineer (CEng MICE) di bawah Institution of Civil Engineers (ICE), United Kingdom pada tahun 2020. Pada tahun yang sama, beliau turut didaftarkan sebagai Professional Engineer di bawah Brunei Darussalam Board of Architects, Professional Engineers and Quantity Surveyors (BAPEQS). Selain itu, beliau telah dilantik sebagai Delegated Engineer (DE) bagi ICE Brunei Candidates oleh Kementerian Pembangunan, bagi membimbing dan menilai calon-calon kejuruteraan profesional di Brunei Darussalam.

