BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. – Simposium Seni Bina Islam 2026 pagi tadi diteruskan dengan Sesi Panel Kedua bertemakan ‘Kelestarian sebagai Amanah – Reframing Sustainability’ yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi panel kedua tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Eksekutif BKISHHB, Awang Muhammad Izzul Afifi bin Kifli.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Abdul Hai bin Haji Julay selaku moderator.

Pembentangan pertama disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Anis Malik Thoha menerusi tajuk ‘Melangkaui Kelestarian: Rekonstruksi Paradigma Epistemologi Berteraskan Barakah dalam Seni Bina di Brunei Darussalam’.

Tajuk tersebut antara lain membincangkan mengenai pendekatan baharu dalam seni bina yang melangkaui konsep kelestarian biasa dengan menggunakan konsep barakah dalam konteks Brunei Darussalam.

Pembentangan kedua bertajuk ‘Islamic Architecture: Timeless Sustainability for Modern Design’ disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Green and Sustainable Architecture, Institute of Architects PUJA Brunei (IAPB), Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Ar. Hajah Roswatinee binti Dato Paduka Haji Abdullah.

Dalam pembentangan itu, seni bina Islam menunjukkan bahawa kelestarian bukan konsep baharu tetapi asas reka bentuk yang menekankan keseimbangan, amanah dan keharmonian antara manusia, alam dan persekitaran.

Sepanjang sejarah, seni bina Islam tradisional menggunakan reka bentuk yang sesuai seperti laman dalam, skrin mashrabiya, menara angin, elemen air dan penggunaan bahan tempatan untuk meningkatkan keselesaan semula jadi serta mengurangkan penggunaan tenaga.

Sesi tersebut diakhiri dengan pembentangan bertajuk ‘Integrating Islamic Value and Ethics into Sustainable Built Environment Education for Architecture Programmes in Brunei Darussalam’ oleh Penolong Profesor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Zulkefle bin Ismail.

Pembentangan ini antara lain menyorot satu kerangka pendidikan yang dilaksanakan dalam Program Seni Bina di UTB yang mengintegrasikan nilai dan etika Islam dalam pembelajaran reka bentuk lestari.

Kerangka berkenaan dibangunkan berasaskan prinsip khalifah yang menekankan amanah sebagai penjaga alam sekitar, amanah dalam setiap keputusan reka bentuk, wasatiyyah yang menekankan keseimbangan dan kecekapan sumber; ihsan dalam mencapai kecemerlangan reka bentuk, maslahah yang mengutamakan kesejahteraan komuniti, serta hifz al-bi’ah iaitu perlindungan terhadap alam sekitar.

Sesi panel berkenaan membuka ruang soal jawab yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel serta bertukar pandangan mengenai tema yang dibincangkan.

Simposium Seni Bina Islam 2026 yang bertemakan ‘Barakah Dalam Bangunan: Amalan Seni Bina dan Kelestarian di Negara Brunei Darussalam’ itu berlangsung selama empat hari, kecuali hari Jumaat, bermula 10 hingga 14 Jun 2026.

Program tersebut dianjurkan bersama oleh BKISHHB dan Kementerian Pembangunan serta diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2026 (MYCE 2026).

Antara objektif simposium berkenaan adalah untuk menghimpunkan arkitek, cendekiawan, ahli profesional, ekspatriat, pelajar dan pihak berkepentingan sebagai platform perkongsian ilmu mengenai seni bina Islam sebagai pendekatan yang menggabungkan nilai estetika, etika, inovasi hijau dan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), di samping memelihara kelestarian alam sekitar serta identiti budaya dan warisan masyarakat Negara Brunei Darussalam.