Simposium Seni Bina Islam 2026 yang dianjurkan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan berakhir dengan Majlis Penutup yang menyaksikan pembentangan Resolusi Simposium Seni Bina Islam 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Pengarah BKISHHB, Dayang Hajah Nur Kamilah binti Haji Ismail selaku Pemangku Pengerusi Bersama Simposium Seni Bina Islam 2026.

Pembentangan Resolusi Simposium Seni Bina 2026 disampaikan oleh Arkitek Jabatan Perkhidmatan Teknikal dari Jabatan Kerja Raya, Ar. Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd. Nor.

Dalam pembentangannya, beliau mengongsikan bahawa simposium berkenaan telah merumuskan sebanyak 10 resolusi, iaitu memperkukuh identiti Islam-Brunei dengan cara menegaskan seni bina Islam sebagai manifestasi falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Maqasid Syariah; menjadikan konsep barakah sebagai paradigma utama dalam reka bentuk, melangkaui kelestarian konvensional dengan dimensi spiritual, moral dan sosial serta mengintegrasikan nilai reka bentuk Islam dengan teknologi moden untuk menghasilkan seni bina dan bentuk rekaan seperti cekap tenaga dan berprinsip kesederhanaan.

Juga termasuk dalam resolusi ialah memperkukuh kurikulum institut pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam (NBD) mengikut enam prinsip Islam (Khalifah, Amanah, Wasatiyyah, Ihsan, Maslahah, Hifz al-Bi’ah) bagi melahirkan arkitek beretika dan bertanggungjawab; memastikan pembinaan masjid menepati syarak dan standard teknikal supaya selamat, sesuai digunakan, dan kekal sebagai mercu tanda Islam; dan melaksanakan garis panduan Different Abilities Design Guidelines (2018) secara berterusan bagi memastikan bangunan dan ruang awam mudah digunakan oleh semua golongan termasuk warga emas dan orang berkeupayaan berbeza sebagai bukti kasih sayang dan manfaat bersama dalam Islam.

Di samping itu, memelihara warisan dan kelestarian dengan menjadikan bangunan ikonik seperti BKISHHB dan Masjid Ash-Shaliheen sebagai contoh keseimbangan antara warisan budaya dan kelestarian moden; menguatkan peranan masjid sebagai pusat pendidikan, kebajikan sosial, refleksi rohani dan kelestarian alam, bukan sekadar tempat ibadah; menggalakkan kolaborasi antara kerajaan, institusi akademik, arkitek dan masyarakat untuk bekerjasama supaya seni bina Islam bukan sahaja kekal indah, tetapi juga relevan dan berfungsi dalam kehidupan moden; dan menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan menjadikan seni bina Islam sebagai tonggak pembangunan bersepadu yang menyumbang kepada matlamat nasional dan Sustainable Development Goals (SDGs) global.

Acara diteruskan dengan penyerahan Resolusi Simposium kepada tetamu kehormat majlis diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada seramai 121 peserta Simposium Seni Bina Islam 2026.

Simposium Seni Bina Islam 2026 berlangsung selama empat hari kecuali Jumaat dari 10 hingga 14 Jun 2026.

Pembentangan simposium telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 10 hingga 11 Jun 2026 dengan sebanyak 10 pembentangan kertas kerja dan satu pembentangan ucaptama telah diperdengarkan.

Bertemakan ‘Barakah Dalam Bangunan : Amalan Seni Bina dan Kelestarian di NBD’, acara berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2026 (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2026 – MYCE 2026).

Bagi menyemarakkan lagi simposium berkenaan, acara turut diserikan dengan pelbagai pameran interaktif aktiviti-aktiviti kesenian yang dipamerkan oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, badan profesional, institusi kewangan serta misi diplomatik