,BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos 2026 – Suasana penuh keberkatan menyelubungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) pagi ini dengan alunan selawat dan dikir sempena Majlis Berselawat bagi menandakan pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah ﷺ, bersempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ.
Bilik Rambut Mulia Rasulullah ﷺ dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama sebulan, bermula 2 Rabiulawal 1448 bersamaan 15 Ogos sehingga 30 Rabiulawal 1448 bersamaan 12 September 2026.
Hadir selaku tetamu khas ke majlis tersebut Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, dan selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Turut hadir selaku tetamu khas Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohammad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan serta ahli-ahli Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.
Kehadiran para tetamu khas dialu-alukan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, merangkap Pengarah BKISHHB, dan selaku Ketua Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.
Majlis dimulakan dengan Sayyidul Istighfar oleh Yang Mulia Muhammad Ayub bin Ali, Guru Ugama Tingkat 2, Jabatan Pengajian Islam (JPI), diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Abdullah bin Haji Sahat, Nazir Khas, JPI dan seterusnya diikuti dengan bacaan selawat dan dikir beramai-ramai dipimpin orang pegawai-pegawai dan kakitangan JPI.
Majlis tahunan ini merupakan antara usaha berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan kelahiran Rasulullah ﷺ, di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati, menghayati dan menghargai salah satu khazanah warisan Islam yang berharga serta dipelihara di institusi berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengambil kesempatan berkunjung ke Bilik Rambut Mulia Rasulullah ﷺ serta memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah ﷺ sebagai satu bentuk amalan tabarruk, di samping sentiasa memelihara adab dan menunjukkan penuh rasa hormat ketika berada di dalam bilik berkenaan.
Penganjuran majlis tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan Rabiulawal, khususnya dalam memupuk rasa kasih, kecintaan dan penghormatan terhadap Rasulullah ﷺ, di samping mendekatkan warisan Islam kepada orang ramai melalui pengalaman pendidikan, kerohanian dan kebudayaan yang bermakna.
Selain itu BKISHHB juga mempelawa kumpulan lelaki atau perempuan dari kementerian-kementerian, masjid-masjid, persatuan-persatuan, institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta untuk mengikuti Sesi Berselawat dan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sepanjang bulan Rabiulawal 1448 Hijrah di Bilik Rambut Mulia Rasulullah ﷺ bermula pada 2 hingga 30 Rabiulawal 1448H, bersamaan dengan 15 Ogos hingga 12 September 2026 kecuali hari Juma’at dan Ahad.
Untuk mendaftar dan membuat tempahan slot orang ramai boleh menghubungi talian hotline +673 8153264 dan ikuti Instagram Rasmi BKISHHB balaikhazanah.bn atau layari laman web di www.bkishhb.gov.bn
