Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) baru-baru ini menerima lawatan dari Dr Nizar Mahmoud Qasim Al-Sheikh, Acting Director of Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah.
Dr Nizar adalah merupakan seorang pengkaji yang mendalami penyelidikan berkaitan sirah Rasulullah ﷺ, merangkumi sejarah kehidupan Baginda ﷺ dan tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan kehidupan Baginda ﷺ.
Dr Nizar mula mengetahui kewujudan BKISHHB setelah mendapat maklumat mengenai pembukaan semula galeri-galeri pameran BKISHHB untuk kunjungan orang ramai pada 12 Disember 2022 lalu dan tertarik untuk datang berkunjung ke BKISHHB bagi melihat sendiri bahan-bahan koleksi yang dipamerkan. Tambahan lagi BKISHHB juga mempunyai dua (2) buah galeri yang khusus menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan koleksi yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ dan jua para Sahabat Baginda ﷺ iaitu Galeri 3: Galeri Rambut Mulia Rasulullah ﷺ dan Galeri 4: Galeri Athar Sahabat.
Selain itu, lawatan Dr Nizar juga bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dan kolaborasi dalam bidang yang berkaitan seperti bidang pameran, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan koleksi, dan penyelidikan di antara Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah dengan BKISHHB.
Hadir mengalu-alukan kedatangan Dr Nizar ialah Pengarah BKISHHB, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Timbalan Pengarah BKISHHB, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Juma’at.
Memilik kepakaran dalam bidang al-Quran, hadith dan fiqh, diantara penyelidikan terkini yang dijalankan oleh Dr Nezar ialah kajian mengenai Mimbar Rasulullah ﷺ berpandukan kitab-kitab hadis, sirah Nabi ﷺ dan buku-buku sejarah.
Hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam buku berjudul al-Durr al-Thamin fi Fada’il Mimbar al-Nabi al-Amin ﷺ (Permata Bernilai Tentang Kelebihan Mimbar Rasulullah ﷺ) dan pembuatan model Mimbar Rasulullah ﷺ mengikut spesifikasi dan ukuran sebenar dengan menggunakan kayu dari pokok Athal atau juga dikenali sebagai pokok Tarfa’ yang diperolehi dari persekitaran kota Madinah Al-Munawarah, iaitu jenis kayu yang sama pernah digunakan untuk membuat Mimbar asal, selain juga menghasilkan replika mimbar bersaiz kecil.
