Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) baru-baru ini mengadakan satu sesi perkongsian ilmu yang khusus dibukakan kepada warga BKISHHB melalui Jalsah Ilmiyyah bertempat di Auditorium, BKISHHB berkenaan.

Jalsah Ilmiyyah bertajuk ‘Mimbar Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam : Sejarah dan Fadilatnya’ disampaikan oleh Pemangku Pengarah Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah, Dr. Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh.

Sesi perkongsian ilmu tersebut diadakan bertujuan bagi memberi peluang warga BKISHHB untuk melihat buat pertama kalinya replika model Mimbar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dan mempelajari dengan lebih mendalam sejarah pembuatan Mimbar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang dibuat pada tahun kelapan Hijrah sebelum ia musnah dalam peristiwa kebakaran Masjid An-Nabawi pada tahun 654 Hijrah.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Dr. Nezar juga membolehkan beliau untuk menghasilkan model Mimbar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengikut spesifikasi dan ukuran sebenar dengan menggunakan kayu dari pokok Athal atau juga dikenali sebagai pokok Tarfa’ yang diperoleh dari persekitaran kota Madinah Al-Munawwarah, iaitu jenis kayu yang sama pernah digunakan untuk membuat Mimbar asal pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping juga menghasilkan replika Mimbar bersaiz kecil.

Selain itu, hasil kajian mengenai Mimbar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam juga diterbitkan ke dalam buku berjudul ‘al-Durr al-Thamin fi Fada’il Mimbar al-Nabi al-Amin Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam (Permata Bernilai Tentang Kelebihan Mimbar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam).

Pembentangan mengenai Mimbar Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Arab diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, bagi memberikan peluang kepada warga BKISHHB untuk memahami tajuk yang disampaikan dengan sebaiknya.