Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menerima rombongan lawatan dari Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 14 Jun lalu.

Hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan yang diketuai oleh Pengarah SOASCIS UBD, Dr. Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar; dan Timbalan Pengarah BKISHHB, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Juma’at.

Tujuan lawatan SOASCIS UBD ke BKISHHB adalah untuk meneroka kemungkinan kerjasama di dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, Memorandum Persefahaman dan sebagainya.

Lawatan berkenaan juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kakitangan akademik dari luar negara, kakitangan pentadbiran dan para pelajar SOASCIS dengan secara lebih dekat lagi bertepatan dan sejajar dengan visi dan misi SOASCIS sebagai pusat pengajian Islam.

Sebagai sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam, BKISHHB diharap untuk menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dengan penglibatan dan komitmen daripada institusi-institusi pengajian tinggi bagi menjayakan aktiviti dan program keilmuan berkenaan.

Terdapat pelbagai jenis mushaf khususnya dipamerkan di galeri pameran BKISHHB berasal daripada pelbagai negara, antaranya Arab Saudi, Indonesia, Malaysia, Rusia, Sepanyol, Pakistan, India dan lain-lain lagi.

Koleksi mushaf-mushaf berkenaan mempunyai pelbagai jenis kaligrafi (ilmu seni tulisan) yang menarik di antaranya khat Kufi, khat Thuluth, khat Nasakh, khat Farisi, khat Rayhani, khat Diwani, khat Riq’ah dan sebagainya.

Malahan mushaf-mushaf berkenaan juga mempunyai pelbagai motif rekaan yang berbeza-beza dan lebih memfokuskan kepada kesenian Islam, iaitu dengan menggunakan corak geometri Islam; corak bunga dan dedaun; serta penggunaan warna-warna yang menarik.

Antara mushaf-mushaf yang menarik yang terdapat di galeri pameran BKISHHB ialah mushaf salinan milik Ahmed Syamsuddin Karahisari, dan Quranic Stone.