Bandar Seri Begawan, Khamis 10 Ogos 2023 – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima kunjungan dari rombongan Delegasi Coordinating Committee For Geoscience Programmes In East And Southeast Asia Technical Secretariat (CCOPTS) petang tadi.

Hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan yang diketuai oleh Pengarah CCOPTS Dr. Young Joo Lee ialah Timbalan Pengarah BKISHHB, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Juma’at.

Turut hadir menyambut rombongan seramai 16 orang tersebut ialah Kurator Pemeliharaan dan Pembaikan, Dayang Hajah Siti Norhayatty Binti Haji Morni.

Dr Young Joo Lee memulakan lawatan dengan menandatangani lembaran kenangan dan diikuti dengan penyerahan cenderamata, seterusnya beredar ke galeri pameran dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Dr Young Joo Lee dan delegasi CCOPTS berada di Negara Brunei Darussalam dari 8 hingga 12 Ogos 2023 bagi tujuan lawatan rasmi dan perkongsian maklumat mengenai perkembangan bidang Geosains di Negara Brunei Darussalam dan di rantau Timur Asia dan Asia Tenggara.

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Safar 1441 bersamaan 12 Oktober 2019.

Antara bahan pameran yang menarik dalam sembilan galeri pameran berkenaan termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cebisan burdah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, koleksi pelbagai manuskrip Islam, peralatan Astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.