Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri telah menyertai Kursus Fotografi (Asas dan Lanjutan) yang berlangsung selama dua hari, bermula Rabu, 1 Jamadilakhir 1448 bersamaan 11 November 2026 hingga Khamis, 2 Jamadilakhir 1448 bersamaan 12 November 2026, bertempat di Bilik Latihan, Jabatan Penerangan.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Fotografi, Yang Mulia Shahrizan bin Jefferi Aziz, dan Jurufotografi, Yang Mulia Mohd Faizol bin Ab Aziz, dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

BKISHHB telah diwakili oleh Awang Haji Muhammad Hanis Bahzi bin Haji Majid, Penyelaras Galeri, Bahagian Pemasaran Strategik, Unit Idea Kreatif. Penyertaan beliau dalam kursus berkenaan memberikan peluang untuk memperluaskan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang fotografi digital, merangkumi teknik pengendalian kamera, komposisi gambar, pencahayaan serta penghasilan foto yang berkualiti, khususnya bagi tujuan dokumentasi dan liputan aktiviti serta acara rasmi.

Di samping itu, para peserta turut diberikan pendedahan mengenai teknik penyuntingan foto digital serta kaedah penulisan kapsyen yang berkesan, bersesuaian dengan keperluan komunikasi korporat dan penyampaian maklumat rasmi melalui platform media.

Penyertaan ini diharap akan dapat meningkatkan keupayaan pegawai dan kakitangan BKISHHB dalam menghasilkan bahan fotografi dan dokumentasi visual yang lebih berkualiti, sekali gus menyokong usaha mempertingkatkan keberkesanan publisiti, promosi dan penyebaran maklumat mengenai aktiviti, program serta khazanah warisan Islam yang terdapat di BKISHHB.

Kursus berkenaan dikelolakan oleh Unit Penyelidikan dan Perkembangan, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Penerangan dengan kerjasama BERNAMA.