BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November 2026 – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei, Pusat Da’wah Islamiah, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini telah mengadakan Pertandingan Jejak Anbiya’: Kisah Para Nabi dan Rasul bertempat di Auditorium, BKISHHB.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk Memupuk dan menggalakkan minat generasi muda, khususnya golongan kanak-kanak, untuk mendalami serta menghayati ilmu dan kisah para Nabi dan Rasul melalui pendekatan penceritaan cerita yang kreatif, menarik dan interaktif. Inisiatif ini juga dihasratkan dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan peserta terhadap sejarah kehidupan serta teladan yang boleh dicontohi daripada para Nabi dan Rasul, selaras dengan tema pertandingan, “Menelusuri Kisah Para Nabi dan Rasul: Teladan Akhlak Mulia”.

Seramai sepuluh (10) orang peserta daripada lima buah sekolah telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan ini. Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Sekolah Al-Falaah, Sekolah Rendah Mulaut dan Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kuala Belait. Para finalis bertanding dalam dua kategori, iaitu Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Peringkat Akhir pertandingan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan.
Terdahulu, Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa yang dipimpin oleh Pegawai Eksekutif Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Mulia Muhammad Izzul Afifi bin Kifli.
Majlis seterusnya diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Bersama, Yang Mulia Pengiran Haji Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali.

Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh mengenai peranan pertandingan tersebut sebagai salah satu inisiatif pendidikan dalam menyemai kecintaan generasi muda terhadap kisah para Nabi dan Rasul, menerapkan nilai-nilai murni serta membentuk akhlak mulia. Di samping itu, pertandingan ini turut berperanan dalam mengembangkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kreativiti serta bakat peserta dalam bidang penceritaan.

Seterusnya, Ketua Hakim pertandingan, Yang Mulia Pengiran Hajah Mumtazah binti Pengiran Haji Md. Jaafar, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap sepuluh (10) orang finalis yang telah memperlihatkan kreativiti, keyakinan dan penghayatan dalam menyampaikan kisah para Nabi dan Rasul. Beliau turut berharap agar pertandingan seumpama ini dapat meningkatkan pengetahuan serta memupuk penghayatan terhadap nilai-nilai murni untuk dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.

Pertandingan berkenaan menyaksikan Ahmad Wildan Dhiya’ul Iman bin Yus Kamarulzaman dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Bahasa Melayu menerusi penyampaian cerita bertajuk ‘Nabi Nuh’. Tempat kedua pula diraih oleh Muhammad Umar Muayyad bin Muhammad Zulhilmi dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kuala Belait dengan tajuk ‘Nabi Hud dan Keangkuhan Kaum Aad’, dan tempat ketiga disandang oleh Ahmad Hanif bin Mohd Helmy dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan tajuk ‘Nabi Yusof’. Selain itu, Ahmad Hanif bin Mohd Helmy juga turut dinobatkan bagi kategori Persembahan Terbaik.

Sementara itu, bagi kategori Bahasa Inggeris, Mohammad Malik Zikri bin Mohammad Faiz dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dinobatkan sebagai juara menerusi penyampaian cerita bertajuk ‘Nabi Sulaiman’. Tempat kedua disandang oleh Shaikh Muhammad ‘Ammar bin Mohd Dzulazmi dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan tajuk ‘Nabi Ayub’. Manakala tempat ketiga diraih oleh Izzah Nura binti Muhammad Nurul Hibatullah dari Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit dengan tajuk ‘The Prophet Who Never Lost Hope’.

Acara diteruskan dengan persembahan daripada para pemenang bagi kedua-dua kategori, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, barisan panel hakim dan para penaja sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta sokongan yang telah diberikan.

Bagi kedua-dua kategori, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Johan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND300.00, Naib johan menerima sebanyak BND250.00 dan tempat ketiga menerima sebanyak BND200.00. Selain hadiah wang tunai, para pemenang turut menerima sijil penyertaan, plak tajaan Fadil Al-Rashid Enterprise, cenderahati tajaan Aewon, baucar tajaan Margherita Pizzeria, Al-Riyada Consulting dan Ideal Sdn. Bhd.

Sementara itu, pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik menerima hamper tajaan D’Sunlit Sdn. Bhd. Pemenang saguhati bagi setiap kategori pula menerima cenderahati tajaan Aewon, baucar tajaan Ideal Sdn. Bhd. dan Samima Sdn. Bhd., serta sijil penyertaan.

Diharapkan agar penganjuran Pertandingan Jejak Anbiya’: Kisah Para Nabi dan Rasul ini akan terus menjadi platform pendidikan dan dakwah yang kreatif, menarik serta mudah difahami, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah sebagai wadah penyampaian ilmu dan penghayatan nilai-nilai Islam kepada generasi akan datang.

Usaha ini juga selaras dengan peranan BKISHHB sebagai Pusat Warisan Ilmu Islam dalam mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarluaskan khazanah ilmu Islam kepada masyarakat.