Kerohanian dan kesihatan mental merupakan dua aspek penting yang saling berkait dalam membentuk kesejahteraan hidup seseorang. Dalam Islam, ketenangan jiwa bukan sahaja berkait rapat dengan keseimbangan emosi dan pemikiran, malah turut berlandaskan keimanan, penghayatan ibadah serta hubungan yang erat dengan Allah Subhanahu Wata’ala.

Pengukuhan kerohanian melalui penghayatan ajaran Islam dapat menjadi sumber kekuatan dalaman dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Amalan seperti berzikir, berdoa, bersabar dan bertawakal merupakan antara pendekatan yang dapat membantu membina ketenangan jiwa serta memupuk sikap positif dalam menjalani kehidupan seharian.

Sehubungan itu, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri, telah mengadakan Ceramah Kerohanian (Spirituality) dan Kesihatan Mental (Mental Health) pada Sabtu, 28 November 2026, bertempat di Ruang Lobi, BKISHHB.

Ceramah berkenaan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dan dihadiri oleh pegawai serta kakitangan BKISHHB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Eksekutif BKISHHB, Yang Mulia Muhammad Izzul Afifi bin Kifli.

Acara kemudiannya diteruskan dengan ceramah bertajuk “Kerohanian dan Kesihatan Mental” dari perspektif Islam yang membincangkan peranan kerohanian dalam memelihara kesihatan mental berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, serta menekankan kepentingan penghayatan iman, pengawalan emosi serta pembentukan sikap positif sebagai asas dalam mencapai kesejahteraan diri.

Dalam penyampaiannya, Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak menjelaskan bahawa ujian dan cabaran merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Sehubungan itu, setiap individu perlu berusaha memelihara keseimbangan diri melalui pengawalan emosi, khususnya ketika berhadapan dengan perasaan marah, di samping mengamalkan sifat sabar dan syukur dalam apa jua keadaan. Beliau turut menekankan bahawa pengukuhan iman dan pelaksanaan amal soleh berpandukan al-Quran dan al-Sunnah merupakan antara asas penting dalam memperoleh ketenangan jiwa serta menghadapi kehidupan dengan penuh keyakinan terhadap ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala.

Penganjuran program seumpama ini mencerminkan usaha berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam serta menyebarluaskan kefahaman mengenai ajaran Islam yang merangkumi kesejahteraan kehidupan manusia secara menyeluruh.