BKISHHB

Berita


Lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd.
24/06/2024


Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) hari ini menjadi tumpuan lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi serta rombongan sempena Kunjungan Muhibah ke Negara Brunei Darussalam.

BKISHHB merupakan sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam.


449037613_482013840879714_1327850309193492665_n.jpg

Ketibaan rombongan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di BKISHHB dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Turut mengalu-alukan ketibaan rombongan ialah Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad serta pegawai dan kakitangan BKISHHB.


448985790_343007782164291_4165822518199162303_n.jpg

Tuan Yang Terutama dan isteri memulakan lawatan dengan menandatangani lembaran kenangan dan kemudian diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Rombongan turut mendengarkan taklimat ringkas mengenai BKISHHB daripada Dr. Haji Awang Mohammed Hussain sebelum beredar ke galeri-galeri pameran.

Juga hadir, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Menteri Pengiring dan isteri.


448983112_8204754396225092_8759547559297254090_n.jpg

BKISHHB mempunyai sembilan buah galeri yang mempamerkan bahan koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memfokuskan kepada ketamadunan Islam seperti koleksi mushaf daripada pelbagai negara, manuskrip Arab, Farsi dan Nusantara, tongkat, tasbih, serta koleksi fosil dan bahan artifak astronomi Islam.

Sejak pembukaan semula galeri BKISHHB kepada orang awam pada 12 Disember 2022, sehingga kini institusi berkenaan telah menerima sekitar 28,000 pengunjung yang terdiri bukan sahaja daripada orang awam dan para pelancong dari luar negara, malahan ia juga menarik perhatian para pembesar dan ketua-ketua negara.

Attachments