Pelukis-pelukis tempatan mendapatkan inspirasi daripada Bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada sesi Sketchwalk yang ke-27 anjuran Urban Sketchers Brunei pada pagi ini.
Ini adalah kali pertama Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima kunjungan dari Urban Sketchers Brunei untuk sesi Sketchwalk di mana dalam sesi ini pelukis-pelukis melakar lukisan, sama ada di dalam atau di luar bangunan, menangkap apa yang dilihat oleh dari pemerhatian secara langsung dan spontan.
Pelukis-pelukis dan artis-artis menggunakan pelbagai media untuk menceritakan kisah persekitaran tempat dan lokasi yang mereka lawati.
“Bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah mempunyai seni arkitektur yang menarik dan rekabentuk yang terperinci dan ianya adalah cabaran bagi kami untuk membuat lakaran lukisan secara spontan,” ujar Kassim bin Haji Ismail ketika ditemubual pagi tadi.
“Urban Sketchers Brunei ini adalah salah satu platfom yang bagus kerana ia mengumpulkan pelukis-pelukis dari semua peringkat umur, samaada pelukis atau artis yang baru dan juga yang veteran,” tambahnya.
Seramai lebih kurang 20 pelukis-pelukis mengambil bahagian pada sesi Sketchwalk kali ini.
Urban Sketchers adalah sebuah organisasi antarabangsa (NGO) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat bertujuan untuk menyokong dan mewakili komuniti pelukis-pelukis akar umbi (grassroots).
Tujuan Urban Sketchers ditubuhkan adalah untuk meningkatkan nilai seni, penceritaan, dan pendidikan melukis di lokasi dan menghubungkan pelukis-pelukis di seluruh dunia yang melukis di tempat mereka tinggal dan tempat-tempat yang mereka kunjungi.