Perasmian simposium berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdangangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr. Dayang Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin, selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad dalam ucapannya menekankan kepentingan mengenai kerjasama berkenaan dalam mendokumentasikan penggunaan tumbuhan herba secara tradisional untuk memelihara pengetahuan dalam era moden yang akan memajukan penyelidikan mengenai taman herba di Balai Khazanah berkenaan.
“Melalui simposium ini, kami berhasrat untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan tumbuh-tumbuhan, sejajar dengan faedah, fungsi dan perkembangannya bagi menggalakkan pertumbuhan intelek dan pencerahan rohani dalam kalangan peserta," ujarnya.
Beliau seterusnya berkata, Taman Herba di BKISHHB mengetengahkan lebih 54 spesies tumbuhan dan herba perubatan dan koleksi berkenaan terutamanya terdiri daripada herba-herba yang diiktiraf antarabangsa yang telah digunakan selama beratus tahun untuk mempromosi kesihatan dan kesejahteraan.
“Penyelidikan saintifik telah menunjukkan bahawa banyak herba-herba ini berkesan menangani pelbagai penyakit.
“Herba digunakan bukan sahaja sebagai rawatan untuk manusia dan haiwan tetapi juga dalam pemuliharaan dan pemeliharaan artifak melalui tumbuhan tradisional," katanya.
Dr. Haji Awang Mohammed Hussain seterusnya menjelaskan kehebatan ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala turut dipamerkan di Galeri 7 yang menampilkan artifak berharga berkaitan dengan biodiversiti dan ekosistem, termasuk flora dan fauna yang berfosil.
Fosil botani purba berkenaan katanya, menyimpan rahsia yang boleh membimbing generasi sekarang dan akan didedahkan dalam pembentangan oleh Pegawai Arkeologi BKISHHB.
Tetamu kehormat majlis seterusnya melancarkan dan mengunjungi pameran simposium yang mempamerkan pelbagai karya seni botani dan poster penyelidikan yang dihasilkan oleh UBD BRC dan BKISHHB.

Diikuti dengan mengadakan lawatan ke Taman Herba di BKISHHB yang menampilkan tumbuhan yang mempunyai nilai etno botani yang penting.
Sesi plenari telah disampaikan semasa Majlis Pembukaan, diikuti dengan pembentangan seminar oleh penceramah dari BKISHHB dan IBER.

Kertas kerja simposium menekankan peranan penting tumbuhan dalam tamadun Islam di pelbagai bidang seperti pertanian, perubatan, budaya dan kepercayaan.

Simposium berkenaan juga menyediakan platform untuk penglibatan dan perkongsian pengetahuan mengenai persimpangan antara sains tumbuhan dan tamadun Islam.
Turut hadir pada simposium berkenaan ialah para peserta daripada agensi kerajaan dan institusi pendidikan, yang juga berpeluang melawat galeri di BKISHHB dan taman botani UBD BRC di UBD.