BKISHHB

Skip Navigation LinksSejarah BKISHHB

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) adalah merupakan sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam.

BKISHHB yang dulunya dikenali sebagai Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPISHHB) dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Jamadilakhir 1422H bersamaan dengan 18 Ogos 2001M bersempena dengan Ekspo Islam Antarabangsa Pertama di Negara Brunei Darussalam. Pameran bahan koleksi pada masa itu ditempatkan di Bangunan Darul Ifta' Brunei Darussalam.

Merujuk kepada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah semasa Perasmian Majlis Ilmu 2019 sempena hari keputeraan Baginda yang ke-73 tahun dan Perasmian Bangunan Kekal Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 13 Safar 1441H bersamaan 12 Oktober 2019M, Baginda berharap Balai ini akan benar-benar menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dengan penglibatan dan komitmen dari institusi-institusi pengajian tinggi bagi menjayakan aktiviti dan program keilmuan tersebut. Baginda dengan sukacita menamakan bangunan kekal ini sebagai Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Baginda berpendapat Balai ini berpotensi untuk menjadi 'Pusat Sehenti Destinasi Pelancongan Islam' atau 'One-stop Islamic Tourism Destination' dengan menekankan kepentingan bagi kementerian dan jabatan yang berkenaan untuk memberikan komitmen padu masing-masing bagi kemajuan Balai.

 

Adapun Peranan BKISHHB pada masa ini adalah seperti berikut:

  1. Mengumpul dan menyimpan khazanah warisan Islam;
  2. Memelihara dan memulihara khazanah warisan Islam;
  3. Mempamerkan khazanah warisan Islam secara ilmiah;
  4. Melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan; dan
  5. Menyebarkan ilmu melalui jalsah ilmiah, penyelidikan, penulisan, penterjemahan dan pembelajaran.


ISTILAH BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH:

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dapat diertikan sebagai satu tempat menyimpan dan mempamerkan bahan koleksi Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

BALAI (بالاي): Balai bermaksud gedung atau bangunan. Dapat diertikan balai adalah sebuah tempat yang digunakan untuk mempamerkan karya-karya seni dan sebagainya.

KHAZANAH (خزانه): Diambil dari perkataan Arab yang bermaksud tempat menyimpan barang-barang. Khazanah juga bermaksud barang-barang kepunyaan dan harta benda yang dianggap tinggi nilainya.

ISLAM (إسلام): Secara umum Islam adalah agama rasmi Negara Brunei Darussalam. Perkataan Islam merujuk kepada bahan yang mempunyai nilai dan identiti agama Islam.

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH (سلطان حاج حسن البلقيه): Istilah ini diambil sempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemilik bahan yang dipamerkan yang merupakan koleksi Baginda sendiri samaada bahan tersebut berasal dari dalam atau luar Negara Brunei Darussalam.​