Sempena dengan cuti penggal akhir persekolahan tahun 2022 di Negara Brunei Darussalam aktiviti Cerapan Bintang (Stargazing) telah diadakan pada hari ini di Kawasan Lapang Depan Bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Aktiviti ini adalah kolaborasi lanjutan di antara Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dalam menganjurkan pelbagai siri aktiviti ilmiah berkaitan dengan bidang astronomi.

Pada aktiviti kali ini selain mencerap bintang, orang ramai juga berpeluang untuk mencerap planet-planet seperti planet Marikh, Musytari, dan Zuhal. PABD telah menyediakan 5 biji teleskop untuk digunakan oleh orang ramai untuk membuat cerapan.

Objektif utama Cerapan Bintang ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai khususnya anak-anak sekolah yang sedang bercuti penggal persekolahan bagi sama-sama menyaksikan cerapan bintang serta cerapan planet-planet seperti Marikh, Musytari dan Zuhal sebagai usaha bagi menyebarkan ilmu kejadian alam cakerawala yang merupakan tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala serta bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kewujudan planet-planet ini.

Kolaborasi seperti ini bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, khususnya dalam bidang sains astronomi terutamanya astronomi Islam (Falak Syari‘e) di Negara Brunei Darussalam dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan astronomi melalui pemahaman nas nas Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Ianya juga salah satu usaha menarik minat para pengkaji untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendalami bidang astronomi melalui kajian saintifik, khususnya berkaitan peralatan-peralatan astronomi yang disimpan di Galeri 8 (Astronomi) BKISHHB.

Didalam usaha meningkatkan kolaborasi dengan pelbagai sector, BKISHHB mula berkerjasama dengan PABD pada tahun 2021 menganjurkan Bengkel Penggunaan Peralatan Falak Tradisional Rubu’ Mujayyab untuk mempelajari aplikasi instrumen falak tradisional, manakala aktiviti kedua ialah aktiviti Cerapan Gerhana Bulan yang baru sahaja diadakan pada awal bulan November yang lalu.

Di antara aktiviti-aktiviti ilmiah yang dirancang dan telah dipersetujui untuk diadakan secara kolaborasi oleh BKISHHB dan PABD dimasa yang akan datang ialah aktiviti Cerapan Bulan Separa Pertama (First Quarter), bengkel cara pembuatan dan mempelajari fungsi Jam Matahari (Sundial); dan pameran berkala astronomi oleh PABD di ruang Galeri Pameran Istimewa di BKISHHB, khususnya sewaktu musim percutian sekolah.