Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan sesi taklimat bagi persediaan pembukaan semula galeri-galeri pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) beserta wakil-wakil daripada Agensi Pelancongan pada 6 Disember 2022.

Sesi Taklimat ini diadakan sebagai salah satu usaha pemberigaan dan penyelarasan maklumat-maklumat penting bagi persiapan pembukaan semula galeri-galeri pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula hari Isnin, 18 Jamadilawal 1444 bersamaan dengan 12 Disember 2022 nanti. Sesi Taklimat diadakan di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Taklimat mengenai persediaan pembukaan semula galeri pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disampaikan oleh Yang Mulia Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Pemangku Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan turut diisikan dengan sesi dialog bersama wakil-wakil Agensi Pelancongan yang hadir.

Sesi Taklimat ini dihadiri oleh 24 wakil daripada 15 Agensi Pelancongan yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP. Taklimat juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP dan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Rombongan telah diberi peluang untuk menyaksikan sendiri galeri-galeri pameran serta fasiliti-fasiliti yang akan dibukakan untuk kunjungan orang ramai nanti.

Bermula hari Isnin, 18 Jamadilawal 1444 bersamaan dengan 12 Disember 2022, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan dibukakan semula untuk kunjungan orang ramai, mulai dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang setiap hari kecuali hari Juma’at.
Maklumat-maklumat mengenai tiket masuk boleh diperolehi dengan mengunjungi kaunter-kaunter tiket di dalam bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.