Ribuan pengunjung membanjiri Galeri Pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di hari terakhir pembukaan bilik Rambut Mulia Rasulullah SAW hari ini.
Bilik Rambut Rambut Mulia Rasulullah SAW dibuka selama enam hari iaitu dari 12 hingga 18 Disember sempena pembukaan semula Galeri Pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada orang ramai.
Bagi yang tidak berpeluang berkunjung pada kali ini, Bilik Rambut Rambut Mulia Rasulullah SAW seterusnya dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 18 Februari 2023 bersempena Isra’ Mi’raj.
Manakala, Galeri Pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Galeri 1 – Galeri 9) akan terus dibuka untuk kunjungan orang ramai setiap hari (Sabtu – Khamis) kecuali hari Juma‘at, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Tiket masuk boleh diperolehi dari kaunter tiket BKISHHB mulai dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya “One Stop Islamic Tourism Destination”.
