Bandar Seri Begawan, Khamis 20 Julai 2023 – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) baru-baru ini menerima rombongan lawatan dari peserta-peserta Program ASEAN-Australian Muslim Exchange Programme (AAMEP).
Hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan seramai 6 orang yang diketuai oleh Alumni AAMEP Hj Mohd Bazli Azhar bin Hj Mohd Yussof ialah, Dayang Hajah Siti Norhayatty binti Haji Morni Kurator Pemeliharaan dan Pembaikan.
Menurut wakil perhubungan rombongan, lawatan peserta-peserta program AAMEP ke BKISHHB bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut dan mendalami perkembangan pengetahuan islam dalam masa yang sama mendedahkan kepada peserta-peserta program AAMEP kepada sejarah artifak-artifak islam dan barang koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sebagai sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam, BKISHHB diharap untuk menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dengan penglibatan dan komitmen daripada institusi-institusi pengajian tinggi bagi menjayakan aktiviti dan program keilmuan berkenaan.
