BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Mei. – Seramai 34 orang terdiri daripada peserta dan pemerhati dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Muzium-Muzium, Pusat Sejarah Brunei, Pusat Da’wah Islamiah, Muzium Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Muzium Pasukan Polis Diraja Brunei dan Galeri Matawang Negara Brunei Darussalam (NBD) menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan di Auditorium, BKISHHB, Jalan Pengiran Babu Raja, di sini, petang tadi.
Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program Pengurusan Koleksi Muzium disempurnakan oleh tetamu kehormat, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, selaku Ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.
Juga hadir sama, Acting Deputy Chief of Mission, Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di NBD, Christopher Pritchett.
Majlis dimulakan dengan ucapan penutup oleh Pemangku Pengarah BKISHHB, Pengiran Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali, yang antara lain menzahirkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Besar AS di negara ini, penceramah jemputan dan ahli-ahli jawatankuasa kerja yang melaksanakan Program Pengurusan Koleksi Muzium dengan jayanya.
Para peserta katanya, digalakkan untuk mendalami ilmu yang telah dipelajari dan memanfaatkan jalinan kerjasama yang telah dibentuk semasa program tersebut diadakan, untuk mengamalkan pengetahuan yang telah diperoleh dan menerapkannya dalam pekerjaan masing-masing, serta memastikan koleksi muzium sentiasa dipelihara dan diurus dengan cermat dan teliti.
Program Pengurusan Koleksi Muzium yang telah berlangsung selama tiga hari tersebut dianjurkan oleh BKISHHB dengan kerjasama Kedutaan Besar AS di NBD.
Program tersebut juga telah menjemput seorang pakar di bawah Program Speaker AS, iaitu Interim Deputy Director for Collections and Exhibitions at the Smithsonian National Museum of Asian Art, Ms. Danielle Bennett.
