Dunia hari ini bukan sahaja memerlukan pembangunan yang pesat, tetapi pembangunan yang berprinsip, beridentiti dan membawa manfaat berpanjangan.
Dalam Islam, konsep barakah menuntut agar setiap pembangunan dilaksanakan dengan niat yang baik, pengurusan yang amanah dan hasil yang memberi kesejahteraan kepada manusia serta alam sekitar.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa merasmikan Simposium Seni Bina Islam : Barakah dalam Bangunan Amalan Seni Bina dan Kelestarian di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.
Menurut Yang Berhormat, seni bina Islam sejak dahulu telah menunjukkan bahawa keindahan dan fungsi boleh berjalan seiring dengan nilai spiritual, kesederhanaan dan keseimbangan alam. Oleh itu, tegasnya, pendekatan tersebut amat relevan dalam mendepani cabaran moden seperti urbanisasi, perubahan iklim dan keperluan pembangunan lestari.
Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja tambahnya, mempunyai asas kukuh untuk terus menerajui pembangunan yang mengekalkan identiti kebangsaan dan nilai keislaman.
Yang Berhormat seterusnya menekankan, bangunan-bangunan di negara ini seharusnya bukan sahaja moden dan berdaya guna, tetapi turut mencerminkan jati diri bangsa dan aspirasi negara.
Terdahulu, Yang Berhormat merakamkan tahniah dan penghargaan kepada BKISHHB serta Jawatankuasa Penganjur atas usaha menganjurkan simposium yang amat bermakna ini. Program seumpama itu jelas Yang Berhormat, mencerminkan komitmen berterusan dalam membudayakan ilmu dan memperkukuhkan pemikiran strategik dalam pembangunan negara.
Penganjuran simposium itu juga katanya, bertepatan dengan penganjuran dan selaras dengan objektif utama Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2026 (Brunei MYCE 2026) bagi mempromosikan dan memperbanyakkan lagi aktiviti berbentuk perkongsian ilmu, percambahan fikiran, pembarigaan penemuan-penemuan baharu dan peningkatan aktiviti ‘networking’ dalam kalangan para ilmuwan dari dalam dan luar negara, yang diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan Sektor Pelancongan dan juga ekonomi NBD.
Yang Berhormat juga berharap lebih banyak simposium atau aktiviti seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, ke arah mendukung penganjuran dan pelaksanaan Tahun Melawat Brunei 2027 nanti.
“Saya berharap simposium ini akan menghasilkan resolusi, cadangan dan kerjasama strategik yang mampu menyumbang kepada masa depan pembangunan negara yang lebih mampan dan diberkati. Saya juga berharap generasi muda akan mengambil inspirasi daripada program ini untuk menceburi bidang seni bina, reka bentuk dan inovasi masa hadapan,” ujar Yang Berhormat lagi.
