BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Jun. – Simposium Seni Bina Islam 2026 yang bertemakan ‘Barakah Dalam Bangunan : Amalan Seni Bina dan Kelestarian di Negara Brunei Darussalam’ diadakan selama 4 hari, kecuali Juma’at bermula 10 hingga 14 Jun 2026 bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Simposium berkenaan merupakan anjuran BKISHHB dengan kolaborasi strategik bersama Kementerian Pembangunan serta institusi pengajian tinggi awam tempatan iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2026 (Brunei MYCE 2026).

Sehubungan itu, perasmian simposium tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Tingkat 1 (Pegawai Masjid), Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani.

Pemangku Timbalan Pengarah BKISHHB, Dayang Hajah Nur Kamilah binti Haji Ismail selaku Pengerusi Bersama Simposium Seni Bina Islam 2026 dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, penganjuran simposium ini selaras dengan hasrat BKISHHB sebagai sebuah Pusat Warisan Ilmu Islam yang berperanan dalam mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarkan khazanah ilmu Islam melalui pelbagai aktiviti keilmuan.

Simposium ini juga jelasnya, merupakan salah satu usaha BKISHHB dalam memperkukuhkan budaya ilmu serta menyediakan platform yang menghimpunkan para profesional, ahli akademik, pegawai teknikal tempatan, penyelidik, pelajar dan pihak berkepentingan untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meneroka pendekatan baharu dalam bidang seni bina Islam dan pembangunan mampan.

Majlis diteruskan dengan pembentangan ucaptama yang disampaikan oleh Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dari Syarikat Eco Bumi and Partners dan Pengerusi Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) dengan tajuk pembentangan ‘Barakah- Guiding Architecture Beyond Form’.

Sejurus acara perasmian, Yang Berhormat seterusnya menyaksikan pameran pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti menarik dan informatif dari pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, badan profesional, institusi kewangan serta misi diplomatik ke Negara Brunei Darussalam (NBD).

Antaranya termasuk pameran demonstrasi yang diadakan di Galeri Istimewa, mempamerkan tiga seni warisan tradisi dari Republik Islam Iran iaitu Seni Kaligrafi, Seni Jubin Mozek ‘Kashi-Moargh’ dan Seni Qalamkari. Ketiga-tiga demonstrasi ini dibawakan khas oleh pakar seni dari Kedutaan Republik Islam Iran ke NBD.

Bersempena dengan Simposium Seni Bina Islam 2026 yang diadakan selama empat hari, pelbagai aktiviti pameran telah diadakan di BKISHHB dan dibuka kepada orang ramai.

Orang ramai juga berpeluang mengikuti dan mempelajari teknik Seni Khat Kaligrafi yang dipamerkan melalui demonstrasi oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke NBD, Tuan Yang Terutama Taghi Rajabi.

Seni tersebut merupakan karya seni khat Parsi yang sangat terkenal dan teragung dalam warisan budaya Iran dan bermacam lagi pameran dan aktiviti yang diselenggarakan sepanjang tempoh kunjungan berkenaan.