Bandar Seri Begawan, Khamis, 27 Ogos. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan anjuran bersama Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan An Naafii Co akan mengadakan Majlis Maulid Akbar bersama Yang Mulia Profesor Dr Ustaz Abdul Somad, yang dijadualkan berlangsung pada hari Khamis, 3 September 2026, bersamaan dengan 21 Rabiul awwal 1448 Hijrah di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, bermula jam 5.30 petang nanti.
Majlis Maulid Akbar berkenaan diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah yang bertemakan ‘Membina Generasi Ummah yang Beriman, Berilmu, Beramal, dan Beradab Mulia’.
Perkara berkenaan diumumkan semasa sidang media yang diadakan di Bilik Kuliah Tingkat 1, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi.
Hadir bagi wakil UNISSA ialah Dekan Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UNISSA, Yang Mulia Dr Haji Supri bin Haji Sudin, manakala Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah diwakili oleh, Pegawai Arkib, Yang Mulia Awangku Md Faiz Fakhri bin Pengiran Zainal Abidin dan Pegawai Perhubungan Awam, Yang Mulia Pengiran Muhd Fauzisalihin bin Pengiran Salleh.
“Program Maulid Akhbar ini adalah merupakan satu program berteraskan penghayatan sirah nabawiyyah dan pemerkasaan nilai mahabbah terhadap junjungan besar kita, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam,” ujar Dekan Pelajar , Pejabat Hal Ehwal Pelajar UNISSA, Yang Mulia Dr Haji Supri.
“Sukacita menjemput orang ramai untuk sama-sama mengambil kesempatan untuk hadir dan memeriahkan majlis yang mulia dan penuh ilmu ini,” tambahnya.
Majlis Maulid Akbar berkenaan juga akan turut diserikan dengan alunan selawat dan qasidah oleh Munsyid Kyrel Al Gayauwi dan Ahmad Muaiyyad Az-Zubair bin Haji Umar Abdul Hakim, selain kehadiran Kumpulan Ad-Dhiyaul Lami’ As Syarif dan Kumpulan Permai turut sama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Seterusnya para peserta akan berpeluang untuk mendengarkan tazkirah bertajuk “Membina Generasi Ummah yang Beriman, Berilmu, Beramal dan Beradab Mulia yang akan disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Dr Ustaz Abdul Somad, Profesor Adjung di Fakulti Usuluddin, UNISSA.
Selain itu, juga diumumkan bahawa pengangkutan bas ulang-alik / Shuttle Bus disediakan untuk orang ramai bermula jam 5.15 petang di beberapa lokasi yang ditetapkan iaitu Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB), Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan Institut Tahfiz al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Dalam pada itu, pihak penganjur bagi acara berkenaan turut memohon kerjasama semua bakal hadirin untuk sama-sama membawa keperluan asas semasa menghadiri majlis, iaitu beg plastik bagi menyimpan kasut atau sandal, tikar sejadah masing-masing, serta kerusi lipat sekiranya diperlukan, bagi memastikan kelancaran dan keselesaan majlis.
Selain itu, pelbagai gerai jualan sementara (pop-up vendors) menjual makanan, minuman, cenderamata serta barangan lain disediakan untuk para peserta sepanjang berlangsungnya program.
Sidang Media kemudian diteruskan dengan sesi soal jawab bagi memberi ruang kepada pihak media untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai majlis berkenaan.
Orang ramai adalah dijemput hadir bagi sama-sama meraikan majlis yang penuh keberkatan ini dan bagi memudahkan urusan kehadiran, orang ramai boleh mendaftar melalui kod QR yang dimuat naik di Platform media sosial Instagram @Balaikhazanah.bn, @annaafii.co dan @official.unissa.
