Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri, telah menyertai International Conference on Empowering Islamic Civilization (ICIC 2026) anjuran Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Malaysia, yang berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober 2026.

Persidangan bertemakan “Kearifan Tempatan Alam Melayu Islam Nusantara” tersebut menjadi platform perkongsian penyelidikan, pertukaran ilmu dan pengukuhan jaringan akademik dalam bidang ketamadunan Islam, manuskrip dan pemeliharaan warisan.

BKISHHB diwakili oleh Pengiran Mohammad Wafi bin Pengiran Haji Abd Rahim, Pegawai Etnografi, Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan, yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Pendidikan Islam Berasaskan Muzium: Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai Destinasi Lawatan Keluarga dan Wadah Kelestarian Ummah”. Pembentangan tersebut mengetengahkan potensi BKISHHB sebagai wadah pendidikan Islam tidak formal yang menggalakkan pembelajaran berasaskan koleksi dan bahan pameran, termasuk melalui penglibatan keluarga.

Antara hasil utama penyertaan ialah penerokaan peluang kerjasama strategik antara BKISHHB dengan UniSZA, khususnya dalam penyelidikan, pengkatalogan manuskrip dan pendigitalan koleksi. Perbincangan bersama pihak INSPIRE turut merangkumi cadangan Memorandum Persefahaman (MoU), peluang latihan pengkatalogan manuskrip bagi pegawai BKISHHB serta perkongsian pengalaman UniSZA dalam pembangunan portal e-Manuskrip sebagai rujukan bagi meneliti potensi pembangunan sistem pengurusan manuskrip digital di BKISHHB.

Penyertaan tersebut turut memberikan pendedahan kepada penggunaan teknologi, termasuk realiti maya (Virtual Reality), dalam memperkaya pengalaman pembelajaran pengunjung dan penyampaian maklumat berkaitan warisan Islam. Selain itu, peluang perkongsian ilmu melalui program podcast UniSZA turut dikenal pasti untuk dipertimbangkan melalui penyelarasan lanjut antara kedua-dua institusi.

Di samping itu, kunjungan akademik ke Muzium Negeri Terengganu, Masjid Kristal, Makam Sultan Zainal Abidin I dan beberapa mercu tanda di Kuala Terengganu memberikan pengalaman tambahan dalam memahami pendekatan pemeliharaan warisan, penyampaian maklumat pameran serta hubungan antara sejarah, seni bina dan identiti masyarakat.

Secara keseluruhannya, penyertaan BKISHHB dalam ICIC 2026 memperluas jaringan akademik, meningkatkan pendedahan kepada amalan penyelidikan dan pengurusan manuskrip serta mengenal pasti peluang kerjasama yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan institusi. Hasil penyertaan ini diharap dapat menyokong usaha BKISHHB untuk memperkukuh penyelidikan, pemeliharaan dan penyebaran khazanah warisan Islam demi manfaat masyarakat dan generasi akan datang di Negara Brunei Darussalam.