Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri, menerima lawatan delegasi luar negeri sempena mesyuarat Public Expenditure Management Network in Asia (PEMNA) Treasury Community of Practice (T-CoP) dengan kerjasama Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, pada hari Khamis, 22 Oktober 2026.Lawatan berkenaan melibatkan lebih 80 orang delegasi yang terdiri daripada wakil luar negeri dan tempatan, dengan khidmat juru pandu disediakan bagi memberikan penerangan sepanjang lawatan.
Antara pengisian lawatan ialah pakej Galeri Plus, iaitu lawatan berpandu eksklusif di sekitar dan di dalam bangunan BKISHHB yang memberikan pendedahan kepada para delegasi mengenai fungsi dan keunikan seni bina serta reka bentuk bangunan BKISHHB.
Melalui pakej Galeri Plus, para delegasi berpeluang menerokai Bilik Pengimbasan Manuskrip di Aras Dua dan Makmal Pemuliharaan di Aras Bawah bangunan BKISHHB. Di Bilik Pengimbasan Manuskrip, para delegasi diberikan pendedahan mengenai aktiviti penyelidikan manuskrip fizikal dan digital serta proses pendigitalan manuskrip bagi tujuan dokumentasi, rujukan dan pemeliharaan maklumat. Sementara itu, lawatan ke Makmal Pemuliharaan memperkenalkan para delegasi kepada kaedah penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan serta koleksi artifak.
Selain itu, demonstrasi seni Marmar Air Turki atau Ebru turut menjadi pengisian lawatan yang memperkenalkan para delegasi kepada seni tradisional Turki yang menggunakan permukaan air sebagai medium untuk menghasilkan corak sebelum dipindahkan ke atas kertas. Demonstrasi ini mengetengahkan kehalusan teknik, kreativiti dan keunikan setiap corak yang dihasilkan, sekali gus memberikan pengalaman interaktif kepada para delegasi dalam mengenali kepelbagaian seni dan warisan budaya RepublikTurkiye.
Lawatan ini diharap dapat memperluas pengetahuan para delegasi mengenai khazanah Islam serta peranan BKISHHB dalam memelihara dan memperkenalkan warisan Islam melalui pengisian yang informatif dan interaktif.
