Pusat Sehenti Destinasi Pelancongan Islam
BKISHHB yang dulunya dikenali sebagai Balai
Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah
(BPISHHB) dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddin
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28
Jamadilakhir 1422H bersamaan dengan 18 Ogos
2001M bersempena dengan Ekspo Islam Antarabangsa
Pertama di Negara Brunei Darussalam. Pameran
bahan koleksi pada masa itu ditempatkan di
Bangunan Darul Ifta' Brunei Darussalam.
Merujuk kepada Titah Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum
Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi
Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam telah bertitah semasa
Perasmian Majlis Ilmu 2019 sempena hari
keputeraan Baginda yang ke-73 tahun dan
Perasmian Bangunan Kekal Balai Khazanah Islam
Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 13 Safar 1441H
bersamaan 12 Oktober 2019M, Baginda berharap
Balai ini akan benar-benar menjadi pusat warisan
ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya
ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dengan
penglibatan dan komitmen dari
institusi-institusi pengajian tinggi bagi
menjayakan aktiviti dan program keilmuan
tersebut. Baginda dengan sukacita menamakan
bangunan kekal ini sebagai Balai Khazanah Islam
Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Baginda berpendapat Balai ini berpotensi untuk
menjadi 'Pusat Sehenti Destinasi Pelancongan
Islam' atau 'One-stop Islamic Tourism
Destination' dengan menekankan kepentingan bagi
kementerian dan jabatan yang berkenaan untuk
memberikan komitmen padu masing-masing bagi
kemajuan Balai.
Adapun Peranan BKISHHB
pada masa ini adalah seperti berikut:
- Mengumpul dan menyimpan khazanah
warisan Islam;
- Memelihara dan memulihara khazanah
warisan Islam;
- Mempamerkan khazanah warisan Islam
secara ilmiah;
- Melaksanakan aktiviti kajian dan
penyelidikan; dan
- Menyebarkan ilmu melalui jalsah
ilmiah, penyelidikan, penulisan,
penterjemahan dan pembelajaran.
ISTILAH BALAI
KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH:
Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal
Bolkiah dapat diertikan sebagai satu tempat
menyimpan dan mempamerkan bahan koleksi Islam
milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam.
BALAI (بالاي): Balai bermaksud gedung atau
bangunan. Dapat diertikan balai adalah sebuah
tempat yang digunakan untuk mempamerkan
karya-karya seni dan sebagainya.
KHAZANAH (خزانه): Diambil dari perkataan Arab
yang bermaksud tempat menyimpan barang-barang.
Khazanah juga bermaksud barang-barang kepunyaan
dan harta benda yang dianggap tinggi nilainya.
ISLAM (إسلام): Secara umum Islam adalah agama
rasmi Negara Brunei Darussalam. Perkataan Islam
merujuk kepada bahan yang mempunyai nilai dan
identiti agama Islam.
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH (سلطان حاج حسن
البلقيه): Istilah ini diambil sempena nama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam sebagai pemilik bahan yang dipamerkan
yang merupakan koleksi Baginda sendiri samaada
bahan tersebut berasal dari dalam atau luar
Negara Brunei Darussalam.