Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MAJLIS KHATAM AL-QURAN, SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI DAN IFTAR BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 23/03/2025

Published On : Sunday, 23 March 2025

 

​BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Mac. –Majlis-majlis keagamaan khususnya Majlis Khatam Al-Quran terus dipergiatkan lagi di bulan suci ini lebih-lebih lagi memasuki 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam merebut ganjaran pahala dan keberkatan pada bulan yang mulia ini, Balai Khazanah IslamSultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) lewat petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1446H bersamaan 2025M, bertempat di Dewan Auditorium BKISHHB.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.


Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas beramai- ramai.

Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Awang Aiman Hafizunizam bin Mohd Zaimeerol, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pg Muda Abdul Malik Kg Tungku/Katok.

Majlis turut diimarahkan lagi dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak tiga kali sebelum ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Aiman Hafizunizam.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut menyempurnakan penyampaian derma kepada dua warga BKISHHB.

Para jemputan kemudiannya dijemput untuk berbuka puasa dan seterusnya beredar ke Surau BKISHHB untuk menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Aiman Hafizunizam.

Tahun ini adalah kali ketiga BKISHHB mengadakan Majlis Iftar bersama Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB di samping Majlis Khatam Al-Quran tahunan pada bulan Ramadan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mubarak di samping mendapatkan ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala.