Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MANUSKRIP BUKTI KEGEMILANGAN TAMADUN, PERADABAN ISLAM

Published On : Saturday, 21 June 2025

​Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam yang akan membincangkan Khazanah Ummah dan Warisan Peradaban Islam ini tidak syak lagi adalah satu wadah ilmu yang mempunyai kepentingannya tersendiri, kerana ia berkaitan dengan ‘turath’ atau warisan peninggalan ilmu dan tamadun Islam yang kurang dipelajari dan masih saja tidak banyak dikaji sehingga ke hari ini. 


Manuskrip Islam bukan sekadar koleksi tulisan lama, tetapi ia adalah khazanah ilmu yang menjadi bukti kegemilangan tamadun dan keunggulan peradaban Islam dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu seperti sains, falsafah, politik, hubungan antarabangsa, perubatan, teknologi, seni, pendidikan, sejarah, budaya, dan kesusasteraan. Manuskrip adalah warisan yang perlu dijaga dan dipelihara kerana maklumat dan ilmu yang terkandung di dalamnya dapat menghubungkan sejarah dan peradaban masa lalu, kini, dan masa depan umat Islam yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk generasi akan datang. Perkara itu digariskan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB). 


Menurut Yang Berhormat, memelihara, menjaga dan mengkaji manuskrip-manuskrip ini serta menggali dan menyebarkan ilmu yang terpendam di dalamnya bukan sahaja satu tanggungjawab budaya, malah ia juga merupakan amanah peradaban yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang, sebagai usaha untuk menghidupkan kembali identiti dan sejarah kegemilangan umat Islam. “Usaha seumpama ini adalah sangat penting, kerana para alim ulama dan cendekiawan Islam telah memberikan sumbangan yang besar kepada agama Islam melalui karya-karya ilmiah yang mereka karang dan tulis,” terangnya. Dalam hal itu, Yang Berhormat menekankan kita perlu berpandangan jauh ke depan melihat fungsi dan peranan agensi kebudayaan serta institusi pengajian dan pendidikan yang seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk membarigakan dan memberikan kefahaman mengenai kepentingan khazanah warisan ilmu serta menanamkan minat kepada generasi muda yang ada sekarang. 


Satu usaha yang tidak kurang pentingnya jelas Yang Berhormat ialah pendigitalan bahan-bahan koleksi khususnya naskhah manuskrip, ia bukan setakat dapat menjamin keutuhan naskhah manuskrip asli agar sentiasa terjaga dan terpelihara bahkan juga akan dapat membukakan akses kepada para pengkaji dan penyelidik di mana pun mereka berada tanpa mengira sempadan dan batasan, serta kekal dapat diakses dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Sebelum mengakhiri ucapan, Yang Berhormat turut mengalu-alukan kehadiran para tetamu, pakar-pakar dan penyelidik serta para peserta bagi menjayakan persidangan tersebut dalam usaha murni untuk memartabatkan manuskrip Islam, selain turut mendoakan agar persidangan berkenaan mencapai kejayaan dan akan menghasilkan cadangan yang membina demi manfaat umat Islam dan manusia sejagat.. 


Menyentuh mengenai peranan para alim ulama dan cendekiawan Islam pula jelas Yang Berhormat, kita diingatkan oleh sejarah tentang fungsi dan peranan Baitul Hikmah semasa Zaman Keemasan Islam (The Golden Age of Islam) sebagai sebuah pusat penyebaran ilmu pengetahuan yang menjadi tempat pertemuan para ilmuan, pusat kajian dan perbincangan, pusat penterjemahan, pusat penelitian dan tempat penerbitan karya ilmiah. Yang Berhormat menekankan dalam konteks dunia kita hari ini, peranan tersebut sewajarnya dimainkan oleh pusat warisan ilmu seperti BKISHHB dengan kerjasama secara kolektif bersama pusat pengajian tinggi di negara ini serta pusat-pusat penyelidikan di luar negara. 


Tambah Yang Berhormat, perkara ini adalah selaras dengan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019 dengan menaruh harapan agar “Balai Khazanah Islam untuk benar-benar menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan". Yang Berhormat gembira mengetahui BKISHHB sebagai pusat warisan ilmu Islam yang memainkan peranan proaktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti ilmiah, termasuk persidangan, simposium, bengkel dan program latihan, lebih-lebih lagi secara kerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Melalui penganjuran aktiviti ilmiah seumpama ini katanya, bukan saja dapat melestarikan warisan ilmu Islam, bahkan mampu mengetengahkan dan menonjolkan peranan serta sumbangan penting ulama Islam di Zaman Keemasan, dalam membina peradaban dunia dan tamadun manusia sejagat.