Bahasa Melayu semakin kukuh selepas kedatangan Islam, dengan pelbagai institusi memartabatkan bahasa berkenaan melalui karya-karya bernas tentang budaya dan pandangan hidup Melayu.
Pengkaji Naskhah, Yayasan Karyawan Malaysia, Dr. Noriah @ Jariah binti Mohamed seterusnya menjelaskan, karya agung Melayu ditulis dalam bahasa Melayu, termasuk dialek Semenanjung dan daerah Nusantara seperti Sumatra, Sulawesi, Kalimantan, Sumbawa dan Lombok. “Ia menggunakan tulisan Jawi dan merangkumi bidang pemikiran, falsafah serta pandangan hidup yang diwarisi turun-temurun. “Karya ini merupakan warisan budaya besar bangsa Melayu,” ujarnya semasa menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Manuskrip Nusantara (Adi Karya)’ pada Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 yang berlangsung di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), semalam.
Menurutnya lagi, setiap karya agung mempunyai ciri-ciri khusus sebagai garis pemisah untuk membuktikan sesebuah karya berkenaan benar-benar agung kerana setiap karya penulisan tidak lepas daripada mempamerkan pemikiran budaya sesuatu bangsa yang dilahirkan oleh pengarangnya. Sealur dengan inilah beberapa ciri disediakan tambahnya, iaitu lambang dan pesanan yang hendak disampaikan, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan, dan seni bahasa.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu. Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Muhaimin bin Dr. Haji Serbini. Para peserta juga berpeluang untuk bertanya soalan selepas pembentangan dalam sesi soal jawab bersama Dr. Noriah @ Jariah.
Sementara itu, Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 yang bertemakan 'Manuskrip Islam : Jambatan Antara Masa Lalu dan Masa Depan' diadakan bermula 21 hingga 24 Jun 2025 dan dianjurkan oleh BKISHHB dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Ia juga diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2025 (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 - Brunei MYCE 2025).
Antara objektif Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 berkenaan diadakan adalah untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan manuskrip Islam sebagai jambatan yang menghubungkan warisan intelektual dan budaya dari masa lalu dengan masa hadapan umat Islam.
Dr. Noriah @ Jariah dilahirkan pada 20 Januari 1944 di Sabak Bernam, Selangor. Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Persuratan Melayu.
Seterusnya, beliau menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaya dan menamatkannya pada 1991. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah dan Profesor di UKM, termasuk sebagai Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), serta pernah menjadi pensyarah jemputan di pelbagai institusi antarabangsa seperti Universiti Moscow, Universitas Negeri Riau, dan Institut Ibn Sina di Mauritius.
Sebagai Pengkaji Karya Agung di Yayasan Karyawan Malaysia, Dr. Noriah @ Jariah merupakan seorang sarjana prolifik dalam bidang Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Jawa, dengan lebih daripada 30 penerbitan ilmiah yang merangkumi buku, artikel jurnal serta CD interaktif. Beliau juga aktif membentang kertas kerja dan menyampaikan kuliah umum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di samping sering dijemput sebagai ahli panel penasihat, kolumnis, dan pengkaji karya agung serta terlibat dalam pelbagai projek budaya dan warisan Nusantara.
Atas sumbangannya yang besar kepada dunia akademik dan pemeliharaan khazanah budaya, beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk Medal Kridha Budaya, Medal Pushkin dari Universiti Moscow, dan beberapa Anugerah Sastera Perdana.