Seramai 59 orang terdiri daripada pelajar-pelajar dan guru-guru dari Sekolah Ugama Sayyidina Ali Belait berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke galeri pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diketuai oleh Mohammad Zairul Halfi Bin Talip, Guru Besar Sekolah Ugama Sayyidina Ali.
Sepanjang lawatan tersebut, pelajar-pelajar dibawa untuk menyaksikan galeri-galeri yang mempamerkan sejarah-sejarah perkembangan dan ketamadunan Islam.
Lawatan akademik ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengalaman dan meningkatkan kefahaman mereka dengan pendedahan kepada bahan-bahan artifak dan koleksi Islam.
Para pelajar juga diberi kesempatan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti ilmiah yang disediakan di dalam ruang Pameran Istimewa BKISHHB.
Pembinaan bangunan BKISHHB yang bertemakan seni bina bercorakkan islamik moden ini menempatkan 9 galeri yang mempamerkan pelbagai warisan khazanah dan artifak sejarah Islam.
Antaranya rambut mulia Rasulullah SAW, cebisan burdah, replika kesan tapak kaki, pedang-pedang replika dan tongkat Rasulullah SAW, koleksi pelbagai manuskrip islam, peralatan astronomi islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.
