Galeri ini menempatkan koleksi mushaf milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebanyak lebih daripada 100 naskhah mushaf dipamerkan sama ada berbentuk manuskrip tulisan tangan atau cetakan. Mushaf-mushaf ini berasal dari pelbagai negara Islam seperti Arab Saudi, Iran, Damaskus, Uzbekistan, Türkiye, Mesir, Pakistan, Sepanyol, Rusia, China, Maghribi, Nusantara dan lain-lain lagi. Bahkan ada juga koleksi mushaf yang dipamerkan dari pelbagai zaman pemerintahan Islam seperti zaman Safawiyyah, zaman Utsmaniyyah dan zaman Mughal. Pelbagai kreativiti dalam penulisan mushaf-mushaf ini dapat dilihat termasuk variasi khat, bentuk, teknik penulisan, lakaran, ukuran dan motif yang unik.