BKISHHB

Berita


Lawatan timba ilmu pengetahuan
24/12/2022




Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menerima kunjungan lawatan dari rombongan residen dan penghuni Kompleks Rumah Keba​​jikan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), baru-baru ini.




Seramai 23 lelaki dan 22 perempuan terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa diiringi oleh beberapa pegawai dan kakitangan JAPEM, melawat kesemua sembilan galeri di BKISHHB.








Lawatan tersebut bertujuan untuk menambah pengetahuan residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM mengenai sejarah Islam dan juga dalam masa yang sama memberi pendedahan kepada residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM mengenai penulisan-penulisan Islam dan sejarah para ilmuwan Islam.




Selain itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti untuk residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, JAPEM yang pada ketika ini bercuti penggal akhir persekolahan.




Bermula 12 Disember 2022, galeri-galeri di BKISHHB telah dibukakan semula untuk kunjungan orang ramai, mulai dari jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat.




Antara bahan pameran yang menarik dalam sembilan galeri pameran tersebut, termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cebisan burdah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, koleksi pelbagai Manuskrip Islam, peralatan Astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.







Maklumat-maklumat mengenai tiket masuk boleh diperoleh dengan mengunjungi kaunter-kaunter tiket di BKISHHB, atau dengan melayari laman sesawang rasmi 'www.bkishhb.gov.bn' dan mengikuti Facebook di 'Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah' dan Instagram 'BKISHHB.BN' untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.




BKISHHB merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya 'One Stop Islamic Tourism Destination'.



Attachments