BKISHHB

Berita


BKISHHB TERIMA KUNJUNGAN MANTAN PANGLIMA TENTARA NASIONAL INDONESIA
16/01/2023


Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menerima kunjungan daripada mantan Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Yang Terhormat Jenderal TNI (Purn.) Dato Paduka Seri Andika Perkasa.

tni5.jpeg

Yang Terhormat Jenderal TNI (Purn.) Dato Paduka Seri Andika Perkasa berada di Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja berlangsung pada Ahad di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

 

Yang Terhormat Jenderal TNI (Purn.) Dato Paduka Seri Andika Perkasa serta rombongan seramai 12 orang memulakan lawatan dengan menandatangani Lembaran Kenangan dan diikuti dengan penyerahan cenderamata daripada Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad kepada Yang Terhormat Jenderal TNI (Purn.)​ Dato Paduka Seri Andika Perkasa.


tni2.jpeg

Rombongan kemudiannya beredar ke galeri pameran BKISHHB dan mengakhiri lawatan berkenaan dengan sesi bergambar ramai.


tni3.jpeg

 

Galeri-galeri pameran di BKISHHB dibuka semula untuk kunjungan orang ramai bermula 12 Disember 2022 mulai dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari kecuali Jumaat.

 

Antara bahan pameran yang menarik dalam sembilan galeri pameran berkenaan termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cebisan burdah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, koleksi pelbagai manuskrip Islam, peralatan Astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.

 

Pelbagai maklumat mengenai tiket masuk boleh diperoleh dengan mengunjungi kaunter-kaunter tiket di BKISHHB atau melayari laman sesawang rasmi 'www.bkishhb.gov.bn' dan mengikuti Facebook di 'Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah' dan Instagram 'BKISHHB.BN' untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

 

BKISHHB merupakan manifestasi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya 'One Stop Islamic Tourism Destination'.


Attachments