BKISHHB

Berita


lawatan sambil belajar Sekolah Arab Temburong
29/01/2023


​Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menerima kunjungan rombongan para pelajar dan guru-guru dari Sekolah Arab Temburong.

WhatsApp Image 2023-01-28 at 1.25.12 PM.jpeg
Rombongan disertai seramai 68 orang yang terdiri daripada 58 pelajar dan 10 orang guru, diketuai oleh Pengetua Sekolah Arab Temburong, Awang Morsidi bin Awang Haji Tuah.

Kehadiran rombongan disambut oleh Pemangku Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.

Menurut wakil perhubungan rombongan berkenaan, lawatan sambil belajar berkenaan merupakan salah satu aktiviti pembelajaran yang melibatkan pelajar Tahun 5, Tahun 6, Tahun 7 dan Tahun 8 Sekolah Arab Temburong.

Aktiviti lawatan berkenaan juga termasuk dalam perancangan aktiviti tahunan kokurikulum sekolah bagi tahun 2023.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang adanya satu tempat menyimpan dan mempamerkan bahan koleksi Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Objektif lain lawatan berkenaan dibuat adalah untuk memupuk dan menerapkan pelbagai nilai positif ke dalam diri para pelajar di bawah moto program, iaitu 'Membuka Mata, Menimba Pengalaman, Menjana Pengetahuan', di samping memberikan para pelajar peluang untuk menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi di sekolah sekali gus menimba pengalaman baharu.

Lawatan berkenaan juga bertujuan untuk mendalami dan menghayati tajuk pembelajaran yang terkandung dalam mata pelajaran Melayu Islam Beraja dan Tarikh Islam.

Pengalaman yang ditimba melalui aktiviti lawatan berkenaan bakal dijadikan ilmu oleh para pelajar dalam menempuhi kehidupan sosial bermasyarakat.

Diharapkan dengan adanya lawatan berkenaan juga akan menjadi pemangkin para pelajar untuk menjana kecemerlangan pada masa hadapan dan secara tidak langsung membuka minda para pelajar tentang dunia luar sambil memupuk pelbagai nilai murni dalam diri mereka.

Galeri-galeri pameran di BKISHHB dibuka semula untuk kunjungan orang ramai bermula 12 Disember 2022 mulai dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari kecuali Jumaat.

Attachments