BKISHHB

Berita


Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1444H bersamaan 2023M
19/04/2023


​Dalam merebut ganjaran pahala dan keberkatan pada bulan Ramadan yang mulia ini, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1444H bersamaan 2023M, bertempat di Dewan Auditorium BKISHHB.

WhatsApp Image 2023-04-26 at 12.10.09 PM (1).jpeg


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.


Hadir sama ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

WhatsApp Image 2023-04-26 at 12.10.09 PM.jpeg


Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas beramai-ramai.


Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Imam Tingkat III, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Tohara bin Haji Ongsang.


Majlis turut diimarahkan dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak tiga kali sebelum ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Haji Tohara.


Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut menyempurnakan penyampaian derma kepada tiga warga BKISHHB.


Para jemputan kemudiannya dijemput untuk berbuka puasa dan seterusnya beredar ke Surau BKISHHB untuk menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan Sembahyang Sunat Ba'diah Maghrib yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Saufi bin Haji Suhaini.


Tahun ini adalah kali pertama BKISHHB mengadakan Majlis Iftar bersama Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB di samping Majlis Khatam Al-Quran tahunan pada bulan Ramadan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang Mubarak dan mendapatkan ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala.


Attachments