BKISHHB

Berita


Lawatan dari Acting Director of Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah, Dr. Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh.
11/05/2023


Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) baru-baru ini menerima lawatan dari Dr Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh, Acting Director of Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah.


WhatsApp Image 2023-05-12 at 1.49.09 PM (2).jpeg

 

Dr Nezar adalah merupakan seorang pengkaji yang mendalami penyelidikan berkaitan sirah Rasulullah ﷺ, merangkumi sejarah kehidupan Baginda ﷺ dan tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan kehidupan Baginda ﷺ.

 

WhatsApp Image 2023-05-12 at 1.49.09 PM.jpeg

Dr Nezar mula mengetahui kewujudan BKISHHB setelah mendapat maklumat mengenai pembukaan semula galeri-galeri pameran BKISHHB untuk kunjungan orang ramai pada 12 Disember 2022 lalu dan tertarik untuk datang berkunjung ke BKISHHB bagi melihat sendiri bahan-bahan koleksi yang dipamerkan dengan lebih dekat. Tambahan lagi BKISHHB juga mempunyai dua (2) buah galeri yang khusus menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan koleksi yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ dan jua para Sahabat Baginda ﷺ iaitu Galeri 3: Galeri Rambut Mulia Rasulullah ﷺ dan Galeri 4: Galeri Athar Sahabat Rasulullah ﷺ.

 

Selain itu, lawatan Dr Nezar juga bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dan kolaborasi dalam bidang yang berkaitan seperti bidang pameran, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan koleksi, dan penyelidikan di antara Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah dengan BKISHHB.

 

Hadir mengalu-alukan kedatangan Dr Nezar ialah Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad dan Timbalan Pengarah BKISHHB, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Juma'at.

 

Memilik kepakaran dalam bidang al-Quran, hadith dan fiqh, Dr Nezar telah menjalankan pelbagai penyelidikan dan telah menerbitkan lebih kurang 40 buah karya ilmiah hasil kajian beliau termasuk penulisan dalam bidang tafsir, fiqh, falak, sirah, sejarah, geografi, dan lainnya. Di antara penyelidikan terkini yang dijalankan oleh Dr Nezar ialah kajian mengenai Mimbar Rasulullah ﷺ berpandukan kitab-kitab hadis, sirah Nabi ﷺ dan buku-buku sejarah, yang mana hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam buku berjudul al-Durr al-Thamin fi Fada'il Mimbar al-Nabi al-Amin ﷺ (Permata Bernilai Tentang Kelebihan Mimbar Rasulullah ﷺ) dan pembuatan model Mimbar Rasulullah ﷺ mengikut spesifikasi dan ukuran sebenar dengan menggunakan kayu dari pokok Athal atau juga dikenali sebagai pokok Tarfa' yang diperolehi dari persekitaran kota Madinah Al-Munawarah, iaitu jenis kayu yang sama pernah digunakan untuk membuat Mimbar asal, selain juga menghasilkan replika mimbar bersaiz kecil.

 

Sebagai sebuah institusi yang menyimpan dan memelihara koleksi khazanah ilmu dan artifak warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti berkaitan pameran, pengumpulan, pemeliharaan, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam, BKISHHB akan terus berusaha untuk menjadi sebuah pusat warisan ilmu Islam yang mampu menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti ilmiah untuk kemajuan Islam dan umat sepertimana yang dihasratkan.

 

​ 


Attachments