BKISHHB

Berita


Tingkat ilmu pengetahuan mengenai kehidupan Rasulullah
24/05/2023




Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) merupakan sebuah institusi yang menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang sangat berharga serta berperanan dalam menjalankan aktiviti pengumpulan, penyelidikan, pengkajian, pengembangan dan penyebaran maklumat dan ilmu-ilmu Islam.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 9.12.53 AM (1).jpeg

Berdasarkan fungsi dan peranan BKISHHB yang dihasratkan sepertimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Pembukaan Rasmi BKISHHB dan bertepatan dengan tujuan pembinaan bangunan kekal BKISHHB, pihak BKISHHB sedang giat berusaha membuat perancangan bagi melaksanakan program-program dan aktiviti kajian dan penyelidikan termasuklah menyebarkan ilmu penyelidikan melalui Jalsah Ilmiyyah (Sesi Ilmiah), pengajaran, pembelajaran dan penulisan bagi mencapai hasrat untuk merealisasikan penubuhan BKISHHB sebagai pusat warisan ilmu Islam yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan.


 WhatsApp Image 2023-05-30 at 9.12.53 AM (2).jpeg


Pada hari Rabu, 4 Zulkaedah 1444H bersamaan dengan 24hb Mei 2023M, BKISHHB telah mengadakan satu sesi perkongsian ilmu yang khusus dibukakan kepada warga BKISHHB melalui  Jalsah Ilmiyyah yang bertajuk: “Mimbar Nabi ﷺ: Sejarah dan Fadilatnya", yang telah disampaikan oleh Dr Nezar Mahmoud Kasem Alsheikh, Pemangku Pengarah Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah bermula jam 9.00 pagi, bertempat di Auditorium, BKISHHB.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 9.12.53 AM (3).jpeg

Sesi perkongsian ilmu tersebut diadakan bertujuan bagi warga BKISHHB mengambil kesempatan meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini yang bermanfaat terutama mengenai kehidupan Rasulullah ﷺ  dan sejarah masa dan tempat yang berhubung kait dengan kehidupan Baginda ﷺ seperti sejarah Mimbar Rasulullah ﷺ dengan berpandukan kepada kitab-kitab hadis, sirah Nabi ﷺ dan buku-buku sejarah. Warga BKISHHB juga telah berpeluang untuk melihat buat pertama kalinya replika model Mimbar Rasulullah ﷺ dan mempelajari dengan lebih mendalam sejarah pembuatan Mimbar Rasulullah ﷺ yang dibuat pada tahun ke 8 Hijrah sebelum ianya musnah dalam peristiwa kebakaran Masjid An-Nabawi pada tahun 654 Hijrah.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 9.12.53 AM (3).jpeg

Hasil kajian yang dijalankan oleh Dr Nezar telah membolehkan beliau untuk menghasilkan model Mimbar Rasulullah ﷺ mengikut spesifikasi dan ukuran sebenar dengan menggunakan kayu dari pokok Athal atau juga dikenali sebagai pokok Tarfa' yang diperolehi dari persekitaran kota Madinah Al-Munawwarah, iaitu jenis kayu yang sama pernah digunakan untuk membuat Mimbar asal pada zaman Rasulullah ﷺ, di samping juga menghasilkan replika mimbar bersaiz kecil. Selain itu, hasil kajian mengenai Mimbar Rasulullah ﷺ juga telah diterbitkan dalam buku berjudul al-Durr al-Thamin fi Fada'il Mimbar al-Nabi al-Amin ﷺ (Permata Bernilai Tentang Kelebihan Mimbar Rasulullah ﷺ).

Pembentangan mengenai Mimbar Nabi ﷺ yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Arab telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Pengarah BKISHHB bagi memberikan peluang kepada warga BKISHHB untuk memahami tajuk yang disampaikan dengan sebaiknya.

Dr Nezar adalah merupakan seorang pengkaji yang mendalami penyelidikan berkaitan sirah Rasulullah ﷺ, merangkumi sejarah kehidupan Baginda ﷺ dan tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan kehidupan Baginda ﷺ. Dr Nezar berada di Brunei Darussalam untuk berkunjung ke BKISHHB bagi melihat sendiri bahan-bahan koleksi yang dipamerkan, lebih-lebih lagi di dua (2) buah galeri yang khusus menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan koleksi yang berkaitan dengan Rasulullah ﷺ dan jua para Sahabat Baginda ﷺ iaitu Galeri 3: Galeri Rambut Mulia Rasulullah ﷺ dan Galeri 4: Galeri Athar Sahabat Rasulullah ﷺ.

Memilik kepakaran dalam bidang al-Quran, hadith dan fiqh, Dr. Nezar sebelum ini juga menyatakan hasrat beliau untuk meneroka peluang kerjasama dan kolaborasi dalam bidang yang berkaitan seperti bidang pameran, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan koleksi, dan penyelidikan di antara Dar Al-Siddiq for Sciences, Jeddah dengan BKISHHB.

Jalsah Ilmiyyah kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab dari para peserta yang hadir sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati yang disampaikan oleh Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad kepada Dr Nezar.​




Attachments