Skip Ribbon Commands
Skip to main content

PELUANG OKU PENGLIHATAN, PENDENGARAN TIMBA PENGALAMAN LAWATAN KE BKISHHB

Published On : Tuesday, 03 December 2024

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) mengadakan satu program, iaitu Program Bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) : Mewujudkan Kebersamaan.

Program berkenaan bertujuan bagi memastikan golongan OKU, terutama OKU penglihatan dan pendengaran tidak ketinggalan dalam menimba pengalaman lawatan ke galeri-galeri pameran dan mengikuti segala aktiviti, program keilmuan Islam yang disediakan.

Program yang diadakan bersempena dengan Hari OKU Sedunia dan Festival Disember Brunei Kali Ke-8 bermula hari ini sehingga 8 Disember 2024.

Orang ramai terutama golongan OKU penglihatan dan pendengaran adalah dipelawa dan sangat dialu-alukan untuk datang ke BKISHHB bagi merebut peluang menyertai program berkenaan.

Program yang julung kali diadakan berkenaan adalah kolaborasi di antara BKISHHB dan beberapa agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Unit Pendidikan Khas di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pusat Bahagia di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) , Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) di Kementerian Kesihatan, D'Sunlit Sdn. Bhd. dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Turut serta menjayakan program berkenaan adalah persatuan-persatuan seperti Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) dan Persatuan Jari-jariku.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi kolaborasi oleh tetamu kehormat majlis dan seterusnya lawatan ke ruang pameran di Ruang Lobi BKISHHB.

Di antara pengisian utama yang ditawarkan dalam program berkenaan adalah Audio and Sign Language Tour Visit dan seterusnya lawatan ke sembilan buah galeri yang terdapat di BKISHHB.

Dalam lawatan berkenaan, para peserta daripada golongan OKU penglihatan dibawa ke sembilan galeri berkenaan dan diterangkan menggunakan alat audio oleh jurupandu dilantik.

Para peserta daripada golongan OKU pendengaran juga dibawa ke galeri-galeri berkenaan dan diterangkan menggunakan bahasa isyarat oleh jurubahasa dilantik terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Jari-jariku.

Manakala, dalam sesi Sensory Visit pula, para peserta dibawa ke ruang pameran di Ruang Lobi BKISHHB untuk memberi peluang kepada para peserta terutama daripada golongan OKU penglihatan untuk memegang bahan-bahan pameran replika seperti replika tongkat Nabi Musa, replika alat kaji bintang, replika fosil ketam, replika fosil gigi kerbau, replika batu meteor dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat pameran-pameran sementara berkaitan dengan golongan OKU penglihatan dan pendengaran yang disediakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pengajian Islam, KHEU; Pusat Bahagia, JAPEM, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan; ITQSHHB dan CDC, Kementerian Kesihatan.

Selain daripada memberi peluang kepada golongan OKU terutama OKU penglihatan dan pendengaran untuk merasai pengalaman mengadakan lawatan ke galeri khusus BKISHHB, program berkenaan juga merupakan salah satu inisiatif untuk menjadikan BKISHHB sebagai sebuah destinasi kunjungan lawatan yang OKU 'friendly'.


2341203_BKISHHB-41.JPG



2341203_BKISHHB-33.JPG

2341203_BKISHHB-30.JPG

Permanent Secretary (Civil Service Governance) at the Prime Minister’s Office Ajman bin Haji Meludin, the guest of honour, also presented certificates of appreciation to the collaborating agencies.

2341203_BKISHHB-20.JPG