BKISHHB MEMPERKENALKAN PAKEJ BAHARU UNTUK PENGUNJUNG TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
Published On : Wednesday, 26 March 2025

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Mac – Bermula awal April 2025, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri akan memperkenalkan beberapa tawaran bagi pengunjung yang ingin menikmati pengalaman lebih bermakna di galeri BKISHHB.
Tawaran ini merangkumi Pakej Lawatan, Pakej Kumpulan, Pakej Galeri Plus, Kad Keahlian BKISHHB, Kad Kesetiaan, serta pembelian tiket secara pukal untuk pelawat residen dan bukan residen.
Sesi taklimat kepada agensi pelancongan, jurupandu dan syarikat perhotelan mengenai tawaran baharu ini telah disampaikan oleh Pengiran Norazah binti Pengiran Haji Muhammad, Kurator Etnografi selaku Ketua Bahagian Pameran dan Pemasaran, di Dewan Auditorium BKISHHB pada pagi ini. Turut hadir semasa sesi taklimat tersebut ialah Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Pengarah BKISHHB.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha BKISHHB untuk menjadikan galeri ini lebih mesra pengunjung, sekaligus memberikan lebih banyak pilihan dan manfaat kepada mereka yang ingin meneroka warisan Islam yang kaya dengan sejarah dan nilai seni.
BKISHHB percaya bahawa dengan pelancaran pakej baharu ini, lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara akan berpeluang menikmati serta memahami lebih mendalam tentang koleksi khazanah Islam yang dipamerkan. Dengan keunikan koleksi yang terdapat di BKISHHB, pelawat akan dapat menyaksikan sendiri pelbagai khazanah berharga yang mencerminkan keagungan seni dan sejarah Islam dari pelbagai zaman dan tamadun.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej ini, orang ramai boleh mengunjungi kaunter tiket BKISHHB atau menghubungi talian 2220702 ext. 140 atau melalui talian whatsapp +6738153267 atau melayari laman sesawang rasmi BKISHHB www.bkishhb.gov.bn.