Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menjadi tumpuan dan salah satu destinasi termasuk dalam program Lawatan Negara Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu dan First Gentleman, Mr. Prindon Sadriu berserta rombongan.
Kedatangan Presiden Republik Kosovo dan rombongan di sini dialu-alukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB dan isteri.
Puan Yang Terutama Datin Laila Utama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu kemudian menandatangani buku kedatangan lawatan dan seterusnya menerima cenderamata.
Setelah itu, Presiden Republik Kosovo beredar membuat lawatan ke galeri balai berkenaan sambil diberikan taklimat dan penerangan oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad.
Turut hadir, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan selaku Menteri Pengiring dan isteri.
BKISHHB, sebuah seni bina Islam ikonik yang megah dan moden direka oleh arkitek terkemuka PEI Architects dan dibina di atas salah satu kawasan tertinggi di Bandar Seri Begawan dan terletak di Jalan Pengiran Babu Raja, hanya kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar.
BKISHHB telah dibuka secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Safar 1441 Hijrah bersamaan 12 Oktober 2019 Masihi.
Selain itu, BKISHHB berkenaan juga merupakan manifestasi kepimpinan intelektual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melestarikan, memperkasa dan memelihara tamadun dan budaya Islam serta mempromosi ilmu dan warisan Islam secara global.
Terdapat sembilan galeri kekal yang mempamerkan koleksi khazanah Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia merangkumi pelbagai artifak seperti Mushaf Al-Quran, manuskrip Arab, Parsi dan Melayu; tasbih, tongkat, fosil, alat astronomi Islam, serta Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cebisan burdah, replika pedang Nabi dan para sahabatnya, dan banyak lagi.
BKISHHB juga mempunyai beberapa kemudahan bertaraf dunia termasuk auditorium, bilik persidangan, bilik mesyuarat, ruang orang kenamaan, makmal pemuliharaan dan surau.
Seni bina yang indah dan koleksi khazanah Islam berkenaan diharapkan dapat menjadikannya mercu tanda sebagai pusat sehenti destinasi pelancongan Islam.