Skip Ribbon Commands
Skip to main content

SIDANG MEDIA PERSIDANGAN ANTARABANGSA MANUSKRIP ISLAM 2025 (INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC MANUSCRIPTS 2025 - ICIM2025)

Published On : Tuesday, 17 June 2025


Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 (International Conference on Islamic Manuscripts 2025 - ICIM2025) merupakan persidangan antarabangsa yang julung-julung kalinya diungkayahkan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Persidangan berkenaan akan berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 Jun 2025, bertempat di BKISHHB.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Kurator Arkeologi, BKISHHB, Dayang Hajah Nur Kamilah binti Haji Ismail, selaku Setiausaha Bersama ICIM2025 semasa berucap di Sidang Media bagi ICIM2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan, BKISHHB, Bandar Seri Begawan, di sini.

Dayang Hajah Nur Kamilah dalam ucapannya seterusnya menjelaskan persidangan berkenaan adalah sebagai salah satu pengisian di bawah Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2025 (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 - Brunei MYCE 2025) kelolaan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Dengan tema 'Manuskrip Islam : Jambatan Antara Masa Lalu dan Masa Depan' tambahnya, persidangan berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan kepentingan manuskrip Islam sebagai penghubung antara ilmu dan budaya Islam dahulu dengan generasi masa kini dan akan datang.

Beliau juga menjelaskan ia juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman mengenai manuskrip Islam yang kekal relevan, selain menarik minat generasi muda untuk mengkaji manuskrip Islam dan memperkenalkan cara baharu dalam pendidikan menggunakan manuskrip Islam bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan tahan uji.

“Persidangan serta sesi-sesi pembentangan selari akan dilaksanakan dalam tiga bahasa iaitu, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

“ICIM2025 telah membukakan 'Call for Papers' seawal Februari yang lalu dan telah menerima lebih daripada 100 abstrak yang ditapis dan diteliti oleh Jawatankuasa Akademik dan Penilaian Kertas Kerja yang terdiri daripada ahli akademik dari UBD, UNISSA dan KUPU SB.

“Para pembentang terpilih yang akan mengikuti persidangan ini terdiri daripada pakar-pakar, ahli akademik, tenaga akademik, pengkaji dan penyelidik dari dalam dan luar negara merangkumi negara-negara dari Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah," ujarnya lagi.

Dayang Hajah Nur Kamilah seterusnya mengongsikan Majlis Perasmian ICIM2025 akan diadakan pada Sabtu, 21 Jun 2025 bermula jam 10.00 pagi.

Majlis perasmian berkenaan terangnya lagi, akan turut menampilkan pembentangan ucaptama daripada tokoh ilmuwan tempatan, iaitu pakar dalam bidang filologi penyelidikan manuskrip, Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Persidangan berkenaan jelasnya, turut menampilkan pembentang-pembentang jemputan antarabangsa, iaitu Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop dari British Library; Dr. Madian Hamed Abdul Hady Mahmoud dari Fayoum University, Mesir ; Dr. Noriah @ Jariah binti Mohamed, dari Yayasan Karyawan Malaysia.

Selain daripada sesi pembentangan kertas-kertas kerja semasa persidangan berkenaan, beliau seterusnya menerangkan sesi bengkel juga turut dijadualkan pada Selasa, 24 Jun 2025, iaitu dengan tajuk 'Quran Manuscripts from Southeast Asia : Regional Styles of Decoration' yang dikendalikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Annabel Teh Gallop, 'Techniques and Methods for Dating, Chronology and Detecting Forgery and Counterfeiting of Islamic Documents and Manuscripts' dan 'Scientific Bases of Investigation, Analysis and Deterioration (Degradation Damage) Measurements of Documents, Manuscripts and Historical Records' yang dikendalikan oleh Dr. Madian Hamed Abdul Hady Mahmoud, serta Transliterasi Teks yang dikendalikan oleh Dr. Noriah @ Jariah.