Pengarah BKISHHB, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Persidangan Antarabangsa Manuskrip Islam 2025, dalam ucapan alu-aluan beliau sempena majlis perasmian Antarabangsa Manuskrip Islam 2025 menyentuh mengenai tema persidangan yang dipilih untuk menonjolkan kepentingan manuskrip Islam sebagai khazanah intelektual dan sumber ‘premier’ serta bukti autentik sumbangan para ilmuan dan cendekiawan Islam, bukan saja kepada agama Islam, bahkan kepada pembangunan tamadun dan peradaban dunia.
Bercakap mengenai manuskrip Islam katanya, kebanyakan kita akan terbayang bahawa naskhah-naskhah manuskrip Islam hanya akan ditemui di negara-negara Timur Tengah, sedangkan fakta sebenar keberadaan manuskrip-manuskrip Islam yang diketahui setakat ini, ia boleh ditemui hampir di 60 buah negara di seluruh dunia.
Apa yang lebih menarik lagi tambahnya, salah satu kategori Manuskrip Islam adalah manuskrip-manuskrip Jawi yang telah ditulis dan dihasilkan oleh para ulama dan sarjana Melayu Islam yang kebanyakannya telah merantau keluar dari kepulauan Melayu untuk menuntut ilmu agama, khususnya ke Mekah, Madinah dan Mesir.
"Manuskrip-manuskrip Jawi hasil penulisan ulama-ulama Melayu ini bukan saja setakat berada di Asia Tenggara, bahkan juga turut berada di merata tempat di seluruh dunia, lebih dari 20 buah negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Sepanyol, Portugal, Vatikan, Rusia, Mesir, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Yaman, Afrika Selatan, Jepun, Brunei, Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, dan juga Australia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, jumlah bilangan manuskrip Jawi yang berada di luar kepulauan Melayu ini bukan sedikit, bahkan mungkin saja mencecah 10 ribu naskhah atau lebih, dan kebanyakannya masih tidak diketahui isi kandungannya kerana belum pernah dibuat inventori apatah lagi dikaji, dan ini sudah setentunya membukakan peluang penyelidikan yang sangat luas bagi mengetahui isi maklumat dan ilmu yang terkandung di dalamnya.