Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MANUSKRIP ISLAM WARISAN INTELEKTUAL BERHARGA

Published On : Saturday, 21 June 2025

​Dalam pembentangan Kertas Perdana bertajuk 'Manuskrip Islam sebagai Jambatan Intelektual: Warisan Ilmu, Nilai dan Inovasi untuk Tamadun Masa Depan', Profesor Program Kesusasteraan Melayu, UBD, Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah menyimpulkan bahawa manuskrip Islam merupakan warisan intelektual yang amat berharga bagi tamadun manusia, khususnya dalam konteks dunia Islam dan Nusantara. Ia adalah dokumen konkrit, saksi sejarah perkembangan ilmu pengetahuan dan kebudayaan, dan juga jambatan yang menghubungkan tradisi keilmuan masa lampau dengan aspirasi pembinaan masyarakat berilmu, berakhlak dan progresif pada masa kini dan masa akan datang. 


Menurutnya, setiap naskhah manuskrip mengandungi ilmu, kepentingan, nilai dan metodologi yang relevan yang boleh dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran di zaman moden ini. Walau bagaimanapun tambahnya, di sebalik kekayaan warisan yang tidak ternilai ini, terdapat beberapa cabaran dalam usaha memelihara dan memanfaatkan manuskrip Islam ini sepenuhnya, salah satunya adalah penyebaran dan akses yang terhad, atau dalam keadaan fizikal yang memerlukan pemeliharaan rapi hingga menyukarkan para penyelidik untuk mengkaji dan memanfaatkannya. 


Beliau menjelaskan, kekurangan pakar penterjemah dan pengkaji juga turut menjadi penghalang yang signifikan, kerana bahasa dan tulisan lama dalam beberapa manuskrip memerlukan kepakaran tertentu untuk menanganinya seperti mentafsir dan menterjemah. “Generasi baharu kurang terdedah kepada ilmu dalam bidang ini sehingga mereka kurang berminat untuk menceburinya. Tanpa pakar dan pengkaji, kandungan manuskrip yang masih tersimpan dan belum dikaji tidak akan dapat diketahui, difahami dan disebarkan," terangnya. Selain itu jelasnya lagi, pembiayaan dan sumber daya untuk kerja-kerja pendigitalan, pemeliharaan jangka panjang dan pembangunan infrastruktur yang sesuai juga merupakan salah satu cabaran yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya kerana ia memerlukan kos yang tinggi dan komitmen berterusan dari segi kewangan dan tenaga manusia.


T​anpa sokongan yang mencukupi jelasnya, usaha kita untuk menyelamatkan dan menyebarkan khazanah ini akan terjejas, dan kesemua faktor ini berpotensi menjadi penyebab khazanah ilmu yang begitu berharga ini terpinggir, dilupakan dan akhirnya tidak dimanfaatkan secara optimum. 


Justeru terang Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim, adalah wajar bagi kita berusaha memelihara, mengkaji dan memasyarakatkan manuskrip Islam ini secara berterusan melalui usaha pendigitalan, penterjemahan dan kajian, di samping memperluaskan lagi dialog ilmiah antarabangsa yang akan dapat membuka ruang kerjasama dan inovasi. 


Dengan langkah-langkah ini katanya, manuskrip Islam dapat terus berfungsi sebagai warisan aktif serta sumber dinamik inspirasi, ilmu, dan nilai yang memacu pembangunan tamadun berteraskan keilmuan, moral dan kemanusiaan sejagat.​