Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri dilancarkan secara rasmi di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), petang tadi.
   
Hadir sebagai tetamu kehormat majlis yang diadakan di Ruang Legar, BKISHHB, di sini, ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin.
   
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Penyelidik Bahasa Arab Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Awang Muhammad Haziq Ariffin bin Haji Muskapah.
   
Seterusnya, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad yang antara lain menjelaskan bahawa, “baginda (Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam) berpandangan bahawa membina kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai pihak akan memberikan impak yang signifikan kepada imej BKISHHB dan memastikan ia dapat beroperasi secara mampan (sustainable) untuk jangka masa panjang".
   
   
Bidang astronomi bukanlah suatu perkara yang asing kepada BKISHHB yang mana astronomi adalah merupakan salah satu galeri pameran di balai berkenaan iaitu Galeri 8: Astronomi yang mempamerkan pelbagai peralatan yang digunakan oleh ahli astronomi Islam pada zaman dahulu.
   
Beliau seterusnya menambah, “Selain itu, BKISHHB dengan kerjasama Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) juga aktif mengadakan aktiviti-aktiviti berkaitan astronomi seperti Bengkel Penggunaan Peralatan Falak Tradisional Rubu' Mujayyab, Cerapan Fenomena Gerhana Bulan Penuh, Mencerap Bintang 'Stargazing' dan mencerap planet seperti Marikh (Mars), Musytari (Jupiter) dan Zuhal (Saturn), dan juga Bengkel Latihan Penggunaan Teleskop".
   
Menurutnya, salah satu pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh balai berkenaan semasa Cerapan Gerhana Bulan Penuh pada 7 September 2025 yang lalu, adalah memberikan peluang kepada para peserta cerapan untuk mengadakan aktiviti perkhemahan (glamping) di kawasan lapang dan kawasan terbuka yang bertujuan untuk memberikan suatu pengalaman yang bebeza kepada orang ramai dan juga para pelajar sekolah serta penuntut institusi-institusi pendidikan sekali gus menarik minat orang awam untuk menyertainya.
   
Justeru peluang mengadakan aktiviti perkhemahan ini katanya, akan dibukakan lagi kepada orang ramai semasa cerapan Fenomena Hilangnya Cincin Planet Zuhal atau 'Saturn's Rings Disappearance' pada 7 November 2025 nanti.
   
Pada majlis itu juga, tetamu kehormat melancarkan majlis dengan tayangan video dan kemudian menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta pameran.
   
Pameran tersebut akan berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 30 November 2025 dan buat pertama kali diadakan melibatkan kolaborasi bersama lima buah agensi dan persatuan iaitu, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS (Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Kehakiman Negara; Jabatan Mufti Kerajaan; Jabatan Ukur dan PABD.
   
Pameran berkenaan diadakan selaras dengan titah dan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berpandangan jauh melihat akan kepentingan BKISHHB dalam membina kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai sektor, termasuk agensi-agensi kerajaan mahupun bersama pihak swasta, untuk menjadikan balai berkenaan sebagai pusat khazanah ilmu yang akan mampu menarik kerjasama dan pengunjung dari dalam serta luar negeri.
   
Selain Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri, beberapa pengisian aktiviti sampingan juga akan dilaksanakan di sepanjang bulan November 2025. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan termasuk, Aktiviti Water Bottle Rocket Launcher; Cerapan Matahari 'Sunspots' 'Sunflares'; Fenomena Hilangnya Cincin Planet Zuhal 'Saturn's Rings Disappearance'; Taklimat mengenai kaedah penentuan Awal Bulan Hijri daripada Jawatankuasa Teknikal Falak Syar'ie Negara Brunei Darussalam (NBD); Cerapan Matahari 'Sunspots' dan 'Sunflares'; Rukyah Hilal Bulan Jamadilakhir 1447 'practical hands-on'; Aktiviti mewarna dan teka silang kata (Mix and Match Planets, Islamic Significant Numbers) dan Aktiviti Kuiz Kahoot.
   
Antara objektif utama Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai termasuk para pelajar sekolah dan penuntut institusi-institusi pendidikan mengenai proses dan kaedah pencerapan Hilal dalam ajaran Islam dan memaparkan peranan dan keutaman Hilal dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam takwim Islam yang diamalkan di NBD seperti awal bulan Ramadan bagi penentuan ibadah puasa, anak bulan Syawal bagi penentuan Hari Raya Aidilfitri dan penentuan bulan Zulhijah bagi hari wukuf Arafah dan Hari Raya Aidiladha.
   
Ia juga bertujuan untuk mengetahui dan mempelajari kaedah-kaedah penentuan awal bulan hijri yang diguna pakai oleh negara-negara lain seperti kaedah kriteria MABIMS, Rukyah (Saudi Arabia) dan kaedah ketinggian anak bulan di atas ufuk dan sudut elongasi (jarak lengkung) antara matahari dan bulan (Turkiye).
   
Dalam masa yang sama, pameran tersebut juga diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai khususnya warga dan penduduk tetap NBD mengenai dengan kaedah penentuan anak bulan hijri yang diamalkan di negara ini dan perbezaan kaedah yang diguna pakai di negara lain sekali gus menghilangkan tanggapan dan persepsi negatif orang ramai terhadap kredibiliti ketetapan rasmi anak bulan hijri khususnya bulan Ramadan, bulan Syawal dan bulan Zulhijah yang kadangkala berbeza dengan negara jiran.