Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Cerapan Fenomena Hilangnya Cincin Planet Zuhal atau 'Saturn's Rings Disappearance'

Published On : Saturday, 08 November 2025

Cerapan Fenomena Hilangnya Cincin Planet Zuhal atau 'Saturn's Rings Disappearance' telah diadakan di kawasan lapang depan bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah semalam.

Aktiviti cerapan tersebut adalah salah satu program yang diadakan dalam Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri yang dilancarkan pada 1 November 2025.

Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri berlangsung selama sebulan bermula dari 1 hingga 30 November 2025 dan buat pertama kalinya diadakan melibatkan kolaborasi bersama lima buah agensi dan persatuan iaitu BKISHHB, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS (Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Kehakiman Negara; Jabatan Mufti Kerajaan; Jabatan Ukur dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD.)

Fenomena Hilangnya Cincin Planet Zuhal atau 'Saturn's Rings Disappearance' ialah fenomena yang jarang berlaku dan berlaku setiap 15 tahun sekali apabila Zuhal berada di dalam kedudukan yang dipanggil sebagai equinox, iaitu apabila cincinnya akan kelihatan sangat samar atau langsung tidak kelihatan dari Bumi.

Para saintis menduga bahawa Cincin Planet Zuhal secara perlahan akan menghilang kerana daya tarikan graviti dan proses 'hujan cincin', di mana zarah-zarah ais jatuh ke atmosfera planet.

“Cincin Zuhal akan berada di tengah-tengah langit pada jam 9 malam, dan jika langit tidak terlalu berawan, kita akan berpeluang untuk menyaksikannya melalui teleskop," ujar ahli PABD, Awang Haji Md. Azri bin Haji Ibrahim.

Beliau juga menambah bahawa jarak planet Zuhal (Saturn) ke Bumi adalah kira-kira 8.9 Astronomical Unit.

Selain itu, aktiviti sempena cerapan juga disertai aktiviti-aktiviti menarik seperti berkhemah (glamping), soalan kuiz (Kahoot), padan gambar mengikut info, mewarna, teka silang kata dan angka matematik Islam dan aktiviti jual-jualan.
Selain Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri, beberapa pengisian aktiviti sampingan juga akan dilaksanakan di sepanjang bulan November 2025.