Taklimat Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri telah diadakan petang ini
di Ruang Legar Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Taklimat ini adalah salah satu program dalam Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal
Bulan Hijri anjuran kolaborasi bersama lima buah agensi dan persatuan iaitu, Bahagian
Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS (Malaysia, Republik Indonesia dan
Republik Singapura), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Kehakiman Negara; Jabatan
Mufti Kerajaan; Jabatan Ukur dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD).
Sesi Taklimat pertama bertajuk “Penetapan Awal Bulan-Bulan Hijrah di Negara Brunei
Darussalam” disampaikan oleh Yang Mulia Haji Abdul Muhaimin bin Awang Haji Damit,
Pegawai Ugama Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara.
Yang Mulia Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman, Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur,
Kementerian Pembangunan, seterusnya memberikan taklimat bertajuk “ Penglihatan Anak
Bulan / Hilal di Negara Brunei Darussalam.
Manakala, Yang Mulia Muhammad Husaini bin Ali Hassan, Ahli Eksekutif PABD pula
berkongsi mengenai pengalaman mencerap Hilal dalam taklimat tersebut.
Antara objektif utama Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri adalah untuk
memberikan pendedahan kepada orang ramai termasuk para pelajar sekolah dan penuntut
institusi-institusi pendidikan mengenai proses dan kaedah pencerapan Hilal dalam ajaran
Islam dan memaparkan peranan dan keutaman Hilal dalam menentukan tarikh-tarikh
penting dalam takwim Islam yang diamalkan di NBD seperti awal bulan Ramadan bagi
penentuan ibadah puasa, anak bulan Syawal bagi penentuan Hari Raya Aidilfitri dan
penentuan bulan Zulhijah bagi hari wukuf Arafah dan Hari Raya Aidiladha.
Ia juga bertujuan untuk mengetahui dan mempelajari kaedah-kaedah penentuan awal bulan
hijri yang diguna pakai oleh negara-negara lain seperti kaedah kriteria MABIMS, Rukyah
(Saudi Arabia) dan kaedah ketinggian anak bulan di atas ufuk dan sudut elongasi (jarak
lengkung) antara matahari dan bulan (Turkiye).