Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Taklimat Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri

Published On : Saturday, 15 November 2025

Taklimat Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri telah diadakan petang ini di Ruang Legar Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Taklimat ini adalah salah satu program dalam Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri anjuran kolaborasi bersama lima buah agensi dan persatuan iaitu, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS (Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Kehakiman Negara; Jabatan Mufti Kerajaan; Jabatan Ukur dan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD).

Sesi Taklimat pertama bertajuk “Taqwim Hijrah” disampaikan oleh Yang Mulia Mohamad Effendi bin Haji Sulaiman, Guru Ugama Terlatih, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Yang Mulia Haji Abdul Muhaimin bin Awang Haji Damit, Pegawai Ugama Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara pula berkongsi mengenai “Penetapan Awal Bulan-Bulan Hijrah di Negara Brunei Darussalam” dalam taklimat tersebut.

Manakala, Yang Mulia Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman, Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, memberikan taklimat bertajuk “ Penglihatan Anak Bulan / Hilal di Negara Brunei Darussalam”.

Hadir dijemput mendengarkan taklimat ialah penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong daerah Brunei Muara.

Antara objektif utama Pameran Astronomi: Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijri adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai termasuk para pelajar sekolah dan penuntut institusi-institusi pendidikan mengenai proses dan kaedah pencerapan Hilal dalam ajaran Islam dan memaparkan peranan dan keutaman Hilal dalam menentukan tarikh-tarikh penting dalam takwim Islam yang diamalkan di NBD seperti awal bulan Ramadan bagi penentuan ibadah puasa, anak bulan Syawal bagi penentuan Hari Raya Aidilfitri dan penentuan bulan Zulhijah bagi hari wukuf Arafah dan Hari Raya Aidiladha.