Ahli MMN hayati gambaran kehidupan Rasulullah SAW
Published On : Tuesday, 30 December 2025
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan rasmi ke pameran The Prophetic Exhibition: The Heart of Madinah, sebuah pameran berunsur sejarah Islam yang memberikan peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan hasil replika berskala asal Rawdah Asy-Syarifah serta Rumah Mulia Nabi Muhammad SAW bersama Sayyidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha yang dihasilkan berasaskan penyelidikan yang teliti, di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Pameran itu menampilkan gambaran keadaan replika tersebut semasa hayat Baginda SAW di sekitar tahun 7 Hijrah bersamaan 628 Masihi yang mencerminkan kehidupan Rasulullah SAW yang sederhana dan dibina dengan penelitian rapi terhadap skala dan bahan binaan yang digunakan pada zaman berkenaan.
Melalui penyelidikan ilmiah yang menyeluruh dihasilkan oleh para ilmuwan, pameran itu turut mempamerkan lebih 40 artifak bersejarah dan elemen ilustrasi yang memberikan gambaran mengenai kehidupan seharian, amalan ibadah masyarakat di Madinah pada ketika itu.
Dengan bimbingan mutawif terlatih, pameran itu memberi penekanan terhadap penghayatan Sirah Nabi Muhammad SAW, sekali gus membolehkan para pengunjung memahami bukan sahaja fakta sejarah, bahkan nilai-nilai murni, akhlak terpuji serta cara hidup yang diteladani oleh Baginda SAW.
Semasa lawatan itu, pihak penganjur memaklumkan pameran berkenan merupakan satu inisiatif bagi menyampaikan ilmu dan dakwah kepada orang awam dan bertujuan untuk memupuk kefahaman serta meningkatkan hubungan yang lebih mendalam terhadap Sirah Nabi menerusi pembelajaran berasaskan konteks dan refleksi.
“Harapan kami, dengan adanya pameran yang berasaskan sejarah dan berskala besar ini dapat memberikan para pengunjung peluang untuk lebih menghayati Sirah Nabawiyyah, serta kesempurnaan akhlak dan pengajaran Baginda SAW.
“Selain itu, ia akan dapat memupuk hubungan yang mendalam, menambahkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa Baginda Nabi Muhammad SAW,” ulas pengurus pameran berkenaan.
Para pengunjung mengongsi pengalaman mereka dengan menyatakan bahawa pameran itu bukan sahaja bersifat informatif dan refleksi, malah mendorong mereka kepada penghayatan dan muhasabah diri serta menambah rasa penghargaan terhadap legasi Nabi Muhammad SAW.