Kepentingan fosil dalam membantu kefahaman perubahan ekosistem
Published On : Tuesday, 03 March 2026
Oleh: Haji Muhammad Ruzaini bin Haji Mohd Daud
Pegawai Arkeologi
Di dalam rona kehidupan yang dilalui tanpa disedari manusia dapat melihat dan menghayati banyak Tanda-Tanda Kebesaran Allah Ta'ala yang merangkumi fenomena alam, planet dan bintang serta flora dan fauna.
Salah satu Tanda-Tanda Kebesaran Allah Ta'ala yang hanya dapat diketahui dan diterokai setelah melaksanakan kerja-kerja penggalian (ekskavasi) adalah fosil.
Santucci, V.L. (2002) mendefinisikan fosil sebagai sisa ataupun kesan yang tinggal daripada hidupan zaman lampau seperti haiwan dan tumbuhan yang terpelihara dalam kerak bumi dan menjadi batu melalui proses pemfosilan (fossilization).
Pada umumnya, proses pemfosilan terjadi pada bahagian keras atau padat pada sesuatu organisma seperti gigi, cengkerang dan tulang. Manakala, bahagian lembut pada sesuatu organisma pula selalunya akan musnah.
Lazimnya, fosil memerlukan masa di antara 10,000 tahun sehingga jutaan tahun untuk terbentuk secara semula jadi.
Cortney (2014) menjelaskan bahawa antara faktor yang membantu atau mendorong proses pembentukan fosil secara semula jadi itu adalah persekitaran 'anoxic' yang bererti kawasan yang memiliki kadar oksigen rendah, ketiadaaan haiwan perosak (scavengers) seperti ulat dan serangga yang cenderung untuk memakan bangkai binatang atau sisa tumbuhan, ketiadaan bakteria yang merupakan mikro organisma kecil yang seringkali menyerang bangkai atau daging busuk, kadar pemendapan tanah yang tinggi bagi memastikan proses penimbusannya di dalam tanah adalah cukup khususnya bagi melindungi organisma itu daripada serangan serangga perosak serta persekitaran yang lembap turut mendorong dan mempercepatkan proses fosilisasi sesuatu organisma.
Setentunya, proses pembentukan sesuatu fosil itu bermula apabila sesuatu organisma itu mati dan tertimbus di dalam tanah. Lama-kelamaan, lapisan endapan yang menimbusi struktur fosil itu juga semakin bertambah dan bercampur dengan aliran air yang turut melembapkan tanah di kawasan tersebut.
Kelly, M (2019) menyatakan bahawa kewujudan fosil ini adalah umpama refleksi cerminan kepada kehidupan pada era yang lampau dan ia adalah sangat penting terutama dalam membantu untuk mengenal pasti sejarah kewujudan serta peringkat evolusi tumbuh-tumbuhan dan binatang.
Dari sudut ekosistem pula, Pearson, R (2011) menjelaskan bahawa penemuan fosil yang terpendam di dalam lapisan tanah pada sesuatu kawasan secara tidak langsung membantu para pengkaji terutama ahli paleontologi dan geologi untuk menentukan usia kewujudan sesebuah kawasan.
Penentuan usia pada sesebuah kawasan dapat ditentukan mengikut fasa masa geologi iaitu di antara lingkungan Era Neogene iaitu sekitar satu juta tahun sehingga Era Cambrian iaitu sekitar 540 juta tahun yang lalu.
Menariknya, fosil-fosil yang berusia jutaan tahun juga turut ditemui di beberapa buah tapak di Negara Brunei Darussalam. Antara tapak-tapak penemuan fosil di Negara Brunei Darussalam adalah Lugu, Lumapas dan Bukit Ambuk, Daerah Tutong.
Untuk mengetahui lebih lanjut, para pembaca boleh melihat sendiri koleksi fosil yang dipamerkan di Galeri 7 – Tanda-Tanda Kebesaran Allah di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.