Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MAJLIS TADARUS JPM LABUH TIRAI

Published On : Tuesday, 17 March 2026

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya melabuh tirai Majlis Tadarus sempena bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, hari ini.




Hadir selaku tetamu khas di majlis tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.




Turut hadir, timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.




Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II berupa dua set kamera litar tertutup (CCTV) 'indoor' dan 'outdoor' dan papan kenyataan 'standing' (portable) kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.




Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan Tadarus Al-Quran yang dimulakan oleh tetamu khas majlis, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas dan bacaan Takhtim beramai-ramai.




Doa Khatam dibacakan oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin dan kemudian disusuli dengan berbuka puasa serta menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.




Majlis-majlis keagamaan di bulan Ramadan seumpama ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan JPM bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping bagi sama-sama menghidupkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini, serta merebut ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala.




Majlis berkenaan diungkayahkan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Jabatan Perkhidmatan Awam.